fbpx

Inisiatif Rahmah bakal diperluas kepada pakej persekolahan, perkahwinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin (tengah) bersama Timbalannya, Fuziah Salleh (dua kiri) dan Mohamed Faroz (kanan) pada Majlis Pelancaran Jualan Rahmah Jakel di Wisma Jakel hari ini. - Foto oleh Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk memperluaskan lagi inisiatif Payung Rahmah kepada pakej perkahwinan, pertunangan dan juga persekolahan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, cadangan itu dilihat boleh menjadi realiti selepas menerima penyertaan menggalakkan daripada syarikat besar seperti Jakel dan Mydin.

“Insya-Allah pada masa akan datang lebih banyak lagi industri tekstil akan kita buat libat urus supaya mereka juga dapat memberikan pakej-pakej yang penting.

“Antaranya baju sekolah untuk musim persekolahan termasuk pakej perkahwinan dan pertunangan yang boleh ditawarkan kepada rakyat dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jualan Rahmah Baju Raya Jakel: Kualiti Premium Pada Harga Mampu Milik di Wisma Jakel, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, dengan semua aspek ini, inisiatif Payung Rahmah diharapkan dapat menarik lebih ramai pemain industri untuk tampil ke hadapan bagi membantu rakyat mendepani kos sara hidup.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, syarikatnya menawarkan pelbagai produk pakaian pada harga yang lebih rendah sehingga 20 peratus di semua cawangan mulai hari ini (22 Mac) sehingga hujung bulan Syawal nanti.

“Kita memperuntukkan sebanyak satu juta baju Melayu masing-masing bagi koleksi Aaron Aziz dan Nabil Ahmad yang dijual pada harga RM149 berbanding RM259 sebelum ini.

“Jakel juga menawarkan kurta pada harga RM49 manaklaa sampin pula dijual pada harga RM39 dan RM49 berbanding harga asal iaitu RM119.

“Selain itu, kita juga berikan tambahan potongan harga 10 hingga 20 peratus bagi barangan yang sudah diberikan diskaun,” ujarnya.

Tambah Mohamed Faroz, usaha tersebut merupakan amal jariah pihak Jakel kepada semua masyarakat bagi menyambut bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri.

“Kita juga ingin memaklumkan bahawa cawangan Jakel Shah Alam akan dibuka semula di tapak baharu bersebelahan Hospital Shah Alam di Seksyen 7 pada 24 Mac ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI