fbpx
MOHD. FIRDAUS berjaya membawa pulang kira-kira 12.6 kg udang galah selepas memancing di lubuk yang ditunjuk oleh suara ghaib. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Suara ghaib bantu tunjuk lubuk udang galah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GANGGUAN daripada unsur mistik terutama sekali ketika berada di dalam kawasan hutan atau hulu sungai bukan sesuatu yang asing bagi kaki pancing.

Walaupun ada yang menakutkan, namun ia bukan halangan kepada peminat aktiviti berkenaan.

Hal ini kerana mereka menganggap itu semua sebagai cabaran ketika mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Menurut seorang kaki pancing, Mohd. Firdaus Mohd. Yusup, 38, gangguan mistik sama ada ketika berada di dalam hutan atau hulu sungai adalah perkara biasa.

Katanya, dia jarang menghiraukan gangguan berkenaan kerana kadang-kadang perkara itu hanyalah mainan perasaan.

Menurutnya, ada gangguan berupa kocakan air, pokok bergoyang walaupun tiada tiupan angin dan suara misteri seperti mengajak untuk pergi ke tempat lain.

Katanya, gangguan seperti itu pernah berlaku padanya baru-baru ini.

Cerita Mohd. Firdaus, ada satu bisikan ke telinga yang memintanya supaya berpindah tempat memancing udang.

Ujarnya, bisikan tersebut menyerunya supaya berpindah ke tempat yang biasanya tiada pemancing.

“Saya seperti terpukau dengan bisikan itu dan berpindah ke tempat dinyatakan. Pada asalnya, saya tidak berminat mengikut suruhan suara itu kerana hari sudah lewat malam.

“Tanpa disangka, bisikan halus itu memberikan rezeki pada saya apabila tidak putus-putus melayan sentapan udang galah sehingga Subuh,” katanya.

Disebabkan kemampuannya melawan ketakutan bisikan halus itu, Mohd. Firdaus berjaya membawa pulang kira-kira 12.5 kilogram (kg) udang galah.

Ia merupakan sejarah buat dirinya selepas lebih 10 tahun bergiat aktif dalam aktiviti memancing.

Bagaimanapun, kejadian itu bukan pertama kali dialaminya.

Mohd. Firdaus pernah balik dengan hasil udang galah tidak sampai sekilo selepas berhenti memancing kerana terdengar seperti ada orang sedang mandi walaupun ketika itu sudah larut malam.

“Namun, apa yang lebih penting adalah mulut jangan terlalu celupar jika berhadapan situasi seperti ini. Jika merasakan boleh membahayakan diri, lebih baik berkemas dan pulang sahaja,” katanya.

Antara sungai yang menjadi tempat Mohd. Firdaus memancing adalah Sungai Kahang, Tanah Abang, Kollin di Kluang dan Gersik di Muar, Johor.

Berbeza pula dengan pengalaman Khirudin Kamarulzaman, 35, yang gemar menjalankan aktiviti mengilat (casting) ikan air tawar seperti sebarau, toman dan jelawat.

Bagi mendapatkan ikan-ikan itu, Khirudin biasanya akan merandok ke hulu sungai yang jauh dari penempatan, selain menempuh laluan belukar di dalam hutan.

Katanya, pernah sekali dia dan rakannya ‘dihalau’ oleh satu suara misteri sedangkan kawasan itu hanya mereka berdua sedang memancing.

Ujarnya, suara ghaib itu seperti memarahi seseorang agar tidak mencerobohi perkampungan mereka.

Disebabkan itu, dia dan rakannya terus bergegas pulang walaupun belum mendapat sebarang tangkapan.

“Kejadian ini menyebabkan saya lebih berhati-hati untuk memasuki kawasan hutan terutama tempat yang jauh serta tiada penempatan manusia di sekelilingnya.

“Kita juga harus sedar dan percaya bahawa ada makhluk Allah SWT yang lain berada di dunia ini. Makhluk ini juga mempunyai kehidupan sendiri walaupun dalam alam berlainan,” katanya.

Menurutnya lagi, hakikatnya ada pantang larang yang sememangnya perlu dipatuhi setiap orang ketika memasuki kawasan hutan terutama sekali tingkah laku dan perbuatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN