fbpx

FIMI raih RM1.02 bilion, Finas alu produksi luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Md. Nasir, pelbagai program menarik diadakan sempena Hari Seniman Kebangsaan yang diadakan esok di Studio Sound Stage, Finas, Hulu Kelang.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) meraih perolehan mencecah RM1.02 bilion menerusi insentif galakan penggambaran di Malaysia (FIMI).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, jumlah berkenaan membabitkan 14 syarikat produksi termasuk tujuh daripadanya merupakan pembikin filem luar negara.

“Finas berjaya menarik produksi antarabangsa dan tempatan untuk mengadakan penggambaran di negara ini yang membabitkan jumlah perbelanjaan berjumlah RM1.02 bilion.

“Angka berkenaan membabitkan permohonan memulakan kerja penggambaran sepanjang tahun ini dengan jumlah yang sudah diluluskan pada Januari lalu sebanyak RM429 juta.

“Inilah perbelanjaan yang akan dikeluarkan pihak terbabit sepanjang menyempurnakan penggambaran filem mereka.

“Di sini penting membuat persiapan rapi tambahan pula dengan kehadiran produksi luar, mereka turut diwajibkan menggunakan khidmat tenaga mahir anak tempatan termasuk kru dan pelakon.

“Kemasukan produksi luar turut memberi impak kepada ekonomi setempat sama ada dari segi perniagaan setempat, logistik mahupun sektor perhotelan,” katanya selepas sidang media Hari Seniman Kebangsaan (HSK) 2023, baru-baru ini.

Katanya, jumlah berkenaan juga berkali ganda lebih tinggi berbanding perolehan tahun lalu yang menunjukkan angka RM187 juta.

“Tahun ini kita didatangi produksi dari Hollywood, Hong Kong, Australia dan negara jiran yang berminat dengan insentif ditawarkan termasuk produksi Million Dollar Island yang kini menjalani penggambaran di Itali membabitkan kos RM27 juta.

“Dalam tahun ini juga kita telah meluluskan penggambaran membabitkan produser terkenal, Ang Lee yang dijadualkan memulakan penggambaran filemnya dalam tempoh terdekat,” ulasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai sambutan HSK 2023 pada 20 Mac ini (esok), Md. Nasir berkata, Finas sudah merangka pelbagai aktiviti untuk menyemarakkan acara bertemakan Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian.

Antara program itu adalah mengundang pelabur dan penggiat industri kreatif dari luar negara untuk berkongsi idea serta teknologi terkini bersama pengkarya tempatan.

“Program itu menjadi titik tolak untuk jalinan kerjasama termasuk meletakkan Malaysia sebagai lokasi penggambaran pilihan.

“Setakat ini, wakil dari tiga negara sudah bersetuju hadir iaitu China, Hong Kong dan Korea Selatan.

“Kami akan berbincang dan bawa mereka melawat ke studio Finas untuk memberi gambaran teknologi perfileman yang kita gunakan,” katanya.

HSK 2023 yang dianjurkan di Studio Sound Stage, FINAS turut dimeriahkan dengan persembahan artis veteran seperti Shaharudin Tamby, Aspalela Abdullah dan Junainah M. Amin.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan HSK disambut pada 22 Mac sempena memperingati hari ulang tahun kelahiran Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Bagaimanapun, sambutan pada tahun ini diawalkan bagi memberi laluan untuk persediaan menyambut Ramadan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI