fbpx

Projek LCS dijamin siap tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly (duduk,kiri) ketika melawat veteran ATM, Che Ahmad Mamat yang terlantar sakit di rumahnya di Kampung Pulau Panjang, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

KOTA BHARU – Kerajaan akan memastikan proses pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) dapat disiapkan pada tahun depan mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, proses pembinaan LCS dijadualkan dengan baik memandangkan ia merupakan aset pertahanan negara pada masa depan.

“Kementerian Pertahanan akan meneruskan LCS dan sekiranya ada isu-isu yang berbangkit, pihak berwajib harus mengambil tanggungjawab masing-masing.

“Kita cuba untuk menyiapkan projek ini seperti yang dijangka iaitu pada tahun depan sebelum ia melalui proses penilaian seperti pengurusan tegasan haba dan beberapa aspek lain dalam tempoh dua tahun,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Program Peduli Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Pulau Panjang di sini hari ini.

Isu projek LCS yang lewat disiapkan pernah dijadikan teguran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

PAC menyaran enam syor tindakan untuk dilaksanakan kerajaan selepas mendedahkan tiada satu projek LCS disiapkan meskipun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion secara kontrak rundingan terus.

Aset itu dirancang bersama Kementerian Pertahanan, ATM, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.

Media sebelum ini melaporkan, perolehan kumpulan pertama LCS dikurangkan daripada enam kepada lima buah selepas proses permohonan semula dilakukan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub berkata, keputusan itu dibuat ketika kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan LCS. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI