fbpx

Sarawak dipilih tuan rumah Sukma 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH (tengah) bergambar bersama barisan Exco Belia dan Sukan Negeri di Menara KBS, Putrajaya semalam.

PEMILIHAN Sarawak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024 akhirnya dipersetujui sebulat suara oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia bagi menganjurkan sukan dwitahunan tersebut.

Jawatankuasa yang dipe­ngerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pemilihan Sarawak bagi penganjuran Sukma tahun depan turut berpandukan sistem penggiliran.

“Pemilihan Sarawak selaku tuan rumah 2024 adalah berpandukan kepada persetujuan ahli untuk memperkenalkan sistem penggiliran tuan rumah secara berselang seli setiap dua tahun antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan negeri-negeri.

“Selepas Sarawak selaku tuan rumah bagi edisi 2024, Sukma 2026 akan dianjurkan oleh MSN dan Kelantan pula bersetuju me­nerima tanggungjawab selaku tuan rumah Sukma 2028 bagi memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang,” katanya.

Hannah berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa serta menyempurnakan majlis menanda­tangani Kod Sukan Selamat bersama Exco Belia dan Sukan Negeri di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Putrajaya semalam.

Beliau turut menjelaskan, sistem penggiliran adalah bagi meringankan beban kerajaan Persekutuan dalam memberikan bantuan kewangan kepada ne­geri-negeri meliputi peruntukan pembinaan, naik taraf infrastruktur sukan, kos penganjuran serta program persediaan atlet di ­peringkat negeri.

Tambah Hannah, jawatan­kuasa turut meluluskan cada­ngan supaya 28 jenis sukan yang wajib dipertandingkan bermula pada penganjuran Sukma di Sarawak tahun depan.

“Senarai 28 jenis sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 ialah akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal (trek dan lebuh raya), gimnastik (artistik dan gimrama), golf, lawan pe­dang, memanah dan menembak.

“Selain itu, olahraga, pelayaran, hoki, judo, ping pong, taekwondo, karate, boling padang, pencak silat, sepak takraw, skuasy, tenpin boling, wusyu, bola sepak, ragbi, bola jaring, bola keranjang, bola tampar dan tenis.

“Sarawak selaku tuan rumah Sukma 2024 turut diberikan pilihan memasukkan beberapa sukan tambahan dan memutuskan untuk menyenaraikan empat jenis sukan iaitu tinju, muay thai, petanque serta sukan elek­tronik (e-Sukan), namun tertakluk ke­pada jumlah minimum penyertaan enam negeri seperti terkandung dalam Peraturan Am Sukan Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usaha­wan Sarawak merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya sudah bersedia menjadikan pe­nganjuran Sukma 2024 antara yang terbaik.

“Saya fikir Sarawak mempunyai kemudahan mencukupi ­seperti di Kompleks Sukan ­Kuching yang merupakan antara kompleks sukan negeri terbesar di Malaysia. Cuma kita tidak ada velodrom.

“Fasiliti-fasiliti lain seperti lapang sasar, padang ragbi kita sudah ada. Untuk Sukma kali ini, kita bercadang untuk diadakan bukan saja di Kuching tetapi dipecah-pecahkan di bandar atau bandar raya lain seperti Miri, Sibu dan Sri Aman supaya lebih ramai rakyat menikmati dan memberikan sokongan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI