fbpx

Ambil lauk guna jari jadi punca pergaduhan di restoran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video tular memaparkan pekerja di sebuah restoran nasi kandar dipukul pelanggan.

SEPANG – Tindakan tiga lelaki memukul pekerja restoran kerana berang selepas ditegur mengambil lauk menggunakan jari memakan diri apabila mereka ditahan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus sebuah restoran memaklumkan tentang kejadian dan menahan tiga suspek berusia 50 hingga 51 tahun di dua lokasi berasingan.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek pergi ke restoran berkenaan dan ketika berada di bahagian nasi kandar, salah seorang daripada mereka dipercayai mabuk menggunakan jari untuk mengambil lauk.

“Teguran itu telah membuatkan suspek menjadi berang dan bertindak agresif memukul pekerja restoran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Kamarul Azran, susulan kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada leher, kepala, bahu kiri dan telinga akibat dipukul suspek.

“Pengadu yang juga pengurus restoran mendakwa berdepan kerugian apabila peralatan kedai dirosakkan termasuk pinggan dan lauk tercemar hingga terpaksa dibuang.

“Siasatan turut mendapati dua suspek masing-masing pemandu pelancong dan pemandu teksi mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Ujar beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324, 327 dan 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan kejadian dua lelaki memukul pekerja sebuah restoran nasi kandar sehingga mengakibatkan kekocohan dan kerosakan barangan di premis tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI