fbpx

Pengusaha bas sekolah minta pemeriksaan di Puspakom sekali setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan, J. Arul Kumar (depan, lima dari kiri) serta Mohd. Rofik (depan, empat dari kiri) bersama hadirin dalam Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan Kali ke-21 di Seremban, hari ini. - Foto oleh NAZARUDIN SHAHARI / KOSMO!

SEREMBAN – Sekretariat Industri Bas Sekolah Malaysia (SIBSM) menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pengangkutan meminta pemeriksaan bas sekolah secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dilaksanakan sekali setahun berbanding setiap enam bulan ketika ini.

Presidennya, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff berkata, kerajaan boleh memberi pertimbangan itu kerana pengusaha bas sekolah perlu menanggung kos yang tinggi setiap kali pemeriksaan dijalankan.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia berkata, pengusaha dikenakan bayaran RM98 untuk menjalani pemeriksaan itu, tetapi kos lebih besar sehingga RM800 untuk van dan sehingga RM2,000 untuk bas bagi penukaran alat ganti seperti pam brek dan tayar sebelum diuji.

“Lebih banyak kos perlu ditanggung jika pemeriksaan itu gagal dan pengusaha perlu membayar RM57 untuk ulangan.

“Pada masa sama, pengusaha tidak boleh menghentikan perkhidmatan kepada murid dan terpaksa menyewa bas sekolah lain dengan kos tambahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Negeri Sembilan Kali Ke-21 di sini hari ini.

Mohd. Rofik memberitahu, bas sekolah tidak boleh disamakan dengan perkhidmatan bas lain seperti bas ekspres dan bas pelancong yang bergerak hampir ke seluruh negara.

Jelasnya, bas sekolah hanya beroperasi lima hari seminggu atau 22 hari sebulan dengan radius operasi antara lima kilometer (km) sehingga 10 km.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Rofik menjelaskan, isu tambang bas sekolah untuk sesi persekolahan tahun ini yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak telah pun diselesaikan.

“Saya difahamkan ia telah selesai. Konsep regulasi telah digunakan yang melibatkan hanya ibu bapa dan pengusaha bas sekolah dalam menentukan tambang bas sekolah tanpa campur tangan kerajaan dan persatuan bas sekolah,” katanya tanpa mengulas lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI