fbpx

Mahkamah: Muhyiddin selesai bayar ikat jamin RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin melambai tangan kepada penyokongnya selepas selesai membayar ikat jamin RM2 juta. Foto oleh Sadam Yusof

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai membayar ikat jamin RM2 juta di Kompleks Mahkamah sini sebentar tadi.

Terdahulu, dalam prosiding pagi tadi Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM232.5 juta dan dua pertuduhan pengubahan wang haram RM195 juta tiga tahun lalu.

Pengakuan tidak bersalah itu dibuat selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dengan enam pertuduhan tersebut sekaligus menjadikan Muhyiddin yang popular digelar ‘abah’ itu merupakan bekas Perdana Menteri kedua didakwa di mahkamah selepas Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan empat suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta yang kesemuanya berjumlah RM232.5 juta.

Ia yang mana kesemua suapan-suapan itu diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen tersebut memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kelima dan keenam Muhyiddin didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai presiden parti Bersatu telah menerima hasil daripada aktiviti haram masing-masing RM120 juta dan RM75 juta daripada sebuah yayasan yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik parti itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur di sini antara 25 Februari 2021 hingga 8 Julai 2022.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 4(1)(b) dibaca bersama seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti
Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Penguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Faridz Gohim Abdullah, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Ahmad Akram Gharib.

Muhyiddin pula diwakili peguam, Datuk K. Kumaraendran, Datuk Rosli Dahlan dan Datuk Takiyuddin Hassan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI