fbpx

Airiel mangsa tayar ‘terbang’ anak harapan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Nazeri menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhamad Airiel Rizman.

SETIU – Seorang bapa tidak me­nyangka nyawa anak sulung­nya yang menjadi harapan keluarga diragut pada hari terakhir remaja lelaki itu berniaga air buah di tepi jalan di Kampung Merang di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, maut akibat terkena sebiji tayar selepas tercabut dari sebuah treler yang melalui jalan tersebut.

Mohamad Nazeri Abdul Razak, 42, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu begitu teruja apabila diterima bekerja di sebuah syarikat pembuatan penutup parit dengan gaji yang lebih lumayan.

Sebelum kejadian, katanya, Muhamad Airiel Rizman telah memaklumkan berita gembira itu kepada keluarga yang dia akan memulakan tugas pada Ahad ini.

“Arwah bersekolah setakat darjah enam sahaja, tetapi dia rajin bekerja untuk mencari duit poket dan membantu keluarga.

“Macam-macam kerja dibuatnya seperti menjadi pekerja kontrak di ladang kelapa sawit. Dia mula menjual air buah bersama rakannya sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Me­rang di sini semalam.

Muhamad Airiel Rizman maut dirempuh tayar treler.

Mohamad Nazeri yang juga pembantu lori berkata, pada malam Isnin lalu, anak sulung­nya berkelakuan pelik dengan menghantar permohonan maaf kepada ahli keluarga dan rakannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya tak sangka itu petanda pemergiannya. Pada mulanya, saya telah dihubungi seorang rakan memaklumkan kemalangan yang menimpa anak saya itu.

“Saya yang ketika itu bertugas di Sungai Tong sejauh kira-kira 60 kilometer telah bergegas ke lokasi kejadian. Sebaik tiba, luluh hati saya melihat sekujur mayatnya terbaring berlumuran darah,” ujarnya.

Keadaan di lokasi kejadian selepas sebiji tayar treler merempuh gerai air buah sehingga mengenai Muhamad Airiel Rizman di Kampung Merang, Setiu kelmarin.

Mohamad Nazeri berkata, dia dan ahli keluarga masih belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kematian Muhamad Airiel Rizman kerana fikiran mereka masih berserabut.

Inilah tayar treler yang tercabut.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan, seorang remaja lelaki yang sedang menjual air buah maut setelah dadanya cedera ­akibat terkena sebiji tayar lori treler tercabut dan terpelanting ke tepi jalan.

Rakannya, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd. Zainani, 22, pula patah tangan kanan dan mulutnya luka akibat terkena tayar yang sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI