fbpx

Lonjakan hasil sebanyak RM21 juta menerusi 4 program Insken

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhd Firdaus

PETALING JAYA – Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya membantu usahawan meningkatkan hasil jualan sebanyak RM21 juta menerusi empat program bimbingan sepanjang tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin berkata, program bimbingan jangka masa panjang seperti Online Onboarding Coaching Programme (E-Board) dan Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) telah menyumbang kepada peningkatan hasil jualan tersebut.

Ujarnya, lonjakan hasil jualan itu turut dibantu oleh Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

“Daripada hasil jualan sebanyak RM21 juta, IBBC telah menunjukkan nilai peningkatan jualan keseluruhan sebanyak RM18.5 juta diikuti dengan E-Board (RM1.8 juta), Program Bimbingan Pembangunan Produk (RM295,000) dan Program Bimbingan Keuntungan Menu (RM794,000).

“Bagi tahun ini, Insken akan terus menyasarkan untuk membantu kumpulan sasaran kami, iaitu usahawan mikro dan informal. Antara topik yang akan ditambah adalah Operasi Perniagaan dan Pengurusan.

“Program latihan baharu Urus Kewangan untuk Perniagaan Kecil juga bakal diperkenalkan sebagai program lanjutan selepas Kursus Urus Tunai yang dilaksanakan pada tahun lepas,” katanya dalam Sesi Taklimat Media secara atas talian, hari ini.

Tambah Muhd Firdaus, Insken turut akan membuka pejabat di Kota Kinabalu dan Kuching selewat-lewatnya pertengahan tahun ini bagi menyasarkan penyertaan sebanyak 15 peratus peserta dari Sabah dan Sarawak.

“Kami menjangkakan dengan pembukaan pejabat baharu ini, akan lebih banyak pemasaran tentang program-program Insken dan berkolabrasi dengan agensi-agensi di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Secara keseluruhan, seramai 21,385 usahawan telah menyertai Program Insken daripada 502 program yang telah dianjurkan dimana 70 peratus terdiri daripada wanita dan majoritinya dari negeri Selangor.

Maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan boleh didapati melalui laman dan media sosial rasmi Insken. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI