fbpx

50 ekor lembu mati lepas ceroboh kebun durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 50 ekor lembu ditemui mati di kawasan kebun durian di Machap Umboo, Melaka, hari ini.

ALOR GAJAH – Dua beradik penternak lembu rugi RM200,000 selepas 50 ekor lembu ternakan ditemui mati dipercayai akibat diracun di kawasan kebun durian di Machap Umboo di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, satu laporan kes khianat turut dibuat oleh salah seorang penternak berusia 43 tahun.

“Mengikut laporan dibuat, pengadu menyedari kejadian itu selepas pekerjanya datang ke rumah memaklumkan dua ekor lembu ternakan keluarganya telah mati di kebun berhampiran.

“Pengadu dan adik lelakinya terus ke kebun tersebut dan mendapati 50 ekor lembu ternakan mereka mati di kawasan tanaman berkenaan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kali terakhir pengadu melihat ternakannya adalah pada pukul 6.30 petang semalam dan haiwan itu tidak dimasukkan ke dalam kandang kerana bimbang cuaca hujan lebat.

“Haiwan itu dibiarkan berkeliaran mencari makan di dalam ladang kelapa sawit dan telah menceroboh masuk kawasan kebun durian berkenaan dengan kesan pagar roboh akibat dirempuh.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka telah mengambil sampel ujian, namun simptom awal dipercayai kesemua haiwan itu mati akibat keracunan,” katanya.

Jelasnya, lembu-lembu itu ditemui mati dengan keadaan mulut berbuih, organ keluar darah dan keadaan dalaman abnormal.

Arshad berkata, anggaran kerugian dialami penternak adalah RM200,000, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI