HONG KONG – Dua individu dikejarkan ke hospital selepas kebakaran berlaku di sebuah bangunan pencakar langit yang sedang dalam proses pembinaan di salah satu daerah beli-belah utama di Hong Kong, malam tadi, lapor akhbar South China Morning Post.
Perancah di sekeliling bangunan itu dijilat api di Jalan Tengah, Tsim Sha Tsui, manakala mangsa yang cedera dipercayai pemandu kenderaan, dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan.
Pegawai-pegawai berkata, kebakaran berlaku pada pukul 11:11 malam (waktu tempatan) di daerah beli-belah dan pelancongan yang sibuk itu di hadapan sebuah pelabuhan bandar raya tersebut.
Pemaju hartanah, Empire Group sedang membina bangunan 42 tingkat tersebut yang dilengkapi dengan 500 bilik Hotel Kimpton selain akan menempatkan semula Kelab Mariners yang kini tidak lagi berfungsi.
Ketika anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api, kebakaran di beberapa tingkat atas menjadi lebih teruk dan letupan turut kedengaran.
Polis berkata, lima bangunan lain di kawasan sekitar lokasi tersebut turut melaporkan kebakaran namun, ia berjaya dipadamkan dengan pantas. – Agensi














