fbpx

UTHM jalin kerjasama dengan Domino’s Pizza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI program Jana Kerjaya, pihak UTHM dan Domino’s Pizza akan berkongsi manfaat secara bersama.

DALAM usaha mengukuhkan kemahiran tenaga kerja menerusi program Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memeterai Memorandum (MoU) dengan Domino’s Pizza.

Inisiatif belajar sambil bekerja (BSB) di bawah program Jana Kerjaya itu sejajar dengan aspirasi kedua-dua pihak untuk mewujudkan tenaga kerja yang berilmu dan berupaya demi menyokong operasi serta pertumbuhan syarikat-syarikat di negara ini.

Menerusi MoU tersebut, Domino’s Pizza telah menghantar sehingga 40 kakitangan sepenuh masanya yang terdiri daripada pengurus restoran, kakitangan dan penghantar piza menyertai program TVET.

Para peserta diberi peluang memilih dua kursus asas iaitu Kawalan dan Jaminan Kualiti Makanan atau Teknologi Operasi Restoran.

Menariknya, selepas tamat kursus, para peserta akan menerima Sijil Kecekapan daripada pihak UTHM.

Kedua-dua kursus itu sebahagian daripada pembelajaran sedia ada yang ditawarkan dalam bidang Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian.

Ia diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

RUZAIRI (kanan) bersama Shamsul semasa majlis memeterai MoU Jana Kerjaya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, TVET merupakan komponen penting sistem pendidikan dan latihan sesebuah negara bagi membantu melahirkan tenaga kerja mahir serta produktif.

“Kami sukacita dapat bekerjasama dengan Domino’s Pizza dalam usaha memperkasakan pembelajaran sepanjang hayat menerusi program Jana Kerjaya ini.

“Tambahan lagi, program ini membolehkan kakitangannya belajar sambil menjana pendapatan.

“Ia juga merupakan platform yang menarik seiring dengan keperluan semasa.

“Kami yakin kerjasama ini akan membantu universiti-universiti melahirkan graduan berkualiti serta mengukuhkan kemampanan institusi pendidikan tinggi terutamanya dalam bidang TVET,” katanya.

Menariknya, Domino’s Pizza juga akan memberi peluang kepada pekerjanya mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan UTHM bermula pada Oktober depan.

Program berkenaan dirangka bagi mendedahkan para pelajar kepada pengalaman dunia sebenar dalam industri perkhidmatan makanan dengan menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan kerjaya.

Calon-calon perlu mempunyai pengalaman kerja sekurang-kurangnya tiga tahun di Domino’s Pizza dan telah menduduki ujian Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) sebagai syarat kemasukan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Domino’s Pizza berkata, Shamsul Amree berkata, kerjasama itu membuka peluang kepada ‘abang dan kakak’ Domino’s mengejar impian dan mencapai potensi sebenar mereka.

“Program ini jelas membuktikan komitmen kami untuk membantu kakitangan meningkat naik dalam kerjaya dengan fleksibiliti untuk belajar sambil bekerja.

“Kami mahu memastikan mereka yang menyertai Domino’s Pizza berkembang maju dalam usaha menjadi restoran perkhidmatan pantas (QSR) mampan dalam pasaran,” jelasnya.

Salah seorang peserta, Zahril Zahari, 27, berkata, dia teruja untuk menyertai program Jana Kerjaya selepas tiga tahun berkhidmat sebagai penghantar piza sepenuh masa di Domino’s Pizza, Jalan Burma, Pulau Pinang.

“Saya gembira kerana diberi peluang untuk melanjutkan pengajian dan berkembang maju secara profesional.

“Saya seronok kerana dapat menimba kemahiran dan ilmu baharu.

“Menerusi program ini, saya bukan sahaja boleh meningkatkan keupayaan, tetapi menyara hidup keluarga saya dengan lebih baik menerusi peluang yang diberikan ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI