fbpx

Melaka kaji semula lokasi bazar Aidilfitri Klebang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAIDI ketika ditemui pemberita pada Program Kembali ke Sekolah 2023 di Bukit Beruang, Melaka, hari ini. -Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/KOSMO!

MELAKA – Kerajaan negeri sedang meneliti semula lokasi penganjuran bazar Aidilfitri di Klebang yang sebelum ini pernah diiktiraf sebagai bazar terpanjang di Malaysia iaitu sejauh 2 kilometer di Taman Klebang Utama, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, ia susulan pihaknya menerima bantahan daripada penduduk serta para peniaga di premis berhampiran mengenai penganjuran di lokasi berkenaan.

Jelasnya, sehingga kini pihaknya juga belum meluluskan lesen penganjuran bazar Aidilfitri itu dan keputusan akan dibuat berdasarkan hasil sesi libat urus diadakan bersama komuniti terlibat.

“Kita akan ada satu sesi libat urus di antara penduduk setempat, peniaga dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenal pasti kaedah sesuai yang membawa situasi menang-menang.

“Lesen (bazar Aidilfitri) Klebang juga belum diluluskan dan belum ada penganjur dilantik, kita tengah teliti keseluruhan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai bantahan penduduk yang diwakili tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Komuniti (JPKK) melibatkan kawasan sekitar Klebang dibuat semalam.

Pengerusi JPKK Klebang Besar, Datuk Mohd. Yusoff Abu Hassan berkata, bantahan tersebut mewakili keluhan oleh 5,000 penduduk yang menetap di kawasan berhampiran serta 200 premis perniagaan di Jalan Klebang Utama.

“Antara kesan ditanggung penduduk adalah kesesakan lalu lintas, gangguan bunyi serta peniaga yang menyewa atau membeli premis di bangunan berhampiran mengalami kerugian mencecah 50 peratus pada tahun lalu.

“Tahun lalu mungkin masih boleh dipertimbangkan kerana di bangunan kedai itu hanya kira-kira 20 premis yang beroperasi tetapi tahun ini ramai peniaga telah masuk, jika khemah dibuka di hadapan pintu masuk kedai macam mana mereka ingin berniaga?,” katanya.

Ujarnya, justeru pihaknya berharap satu pertemuan dapat dilakukan oleh pihak pbt bersama jawatankuasa itu untuk menyelesaikan isu tersebut yang menimbulkan keresahan ramai.

Katanya lagi, pihaknya mencadangkan agar bazar Aidilfitri itu dipindahkan ke kawasan pesisiran pantai di Klebang yang didakwa lebih sesuai serta boleh menempatkan lebih ramai peniaga iaitu kira-kira 200 tapak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI