PETALING JAYA – Lebih 60 peratus daripada kira-kira 5,000 runner di seluruh negara yang menawarkan khidmat memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mengakui pendapatan mereka terjejas dan kehilangan lebih RM1,000 sebulan.
Malah sebahagian daripada mereka yang menjadikan runner sebagai pendapatan utama terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kehidupan selepas ini.
Keadaan itu berikutan pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bahawa pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu mempamerkan cukai jalan pada cermin hadapan sebaliknya menggunakan mod paparan digital, 10 Februari lalu.
Seorang runner, Syed Ilyas Wafa Syed Sulaiman, 33, mengakui ‘periuk nasinya’ dan kenalan lain seperti sudah ditutup dengan pengumuman kerajaan mengenai penggunaan aplikasi MyJPJ berkenaan.
Menurut Syed Ilyas, dia yang menjadikan kerjaya sebagai ‘orang tengah’ dalam menguruskan segala keperluan memperbaharui cukai jalan amat terkesan dengan pembaharuan dilaksanakan kerajaan apabila 90 peratus pendapatannya terjejas.
“Pendapatan bulanan saya sekitar RM1,000 hingga RM2,000 dengan menguruskan kira-kira 40 pelanggan dan ada kalanya sebulan boleh dapat 60 pelanggan.
“Selepas pengumuman dibuat, kami runner tidak diperlukan lagi, ramai pelanggan tetap menghubungi saya memaklumkan tidak lagi memerlukan khidmat memperbaharui cukai jalan disebabkan mereka boleh buat sendiri secara online,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Azizul Kassim, 35, berkata, ramai penghantar barang ‘termenung’ memikirkan nasib dan pendapatan mereka pada masa depan.
“Meskipun cukai jalan secara digital tidak wajib, saya yakin pengguna tidak lagi guna khidmat runner kerana mereka dapat jimat RM25 hingga RM30 kos upah.
“Kalau masih harap pada pekerjaan ini, memang tak cukup duit nak tampung kehidupan saya dan keluarga, memang kena cari kerja lain dengan segera.
“Daripada 250 ahli dalam kumpulan Telegram ‘Runner JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), 150 ahli bersuara terkesan dengan pengumuman itu, kerana tiada lagi pendapatan daripada pekerjaan ini,” luahnya.
Luahan sama disuarakan Nurul Asyikin Yahya, 42, yang memberitahu, dia sudah empat tahun bekerja sambilan sebagai runner demi membantu suaminya menambah pendapatan.
“Dulu pelanggan setia kerana kami menjanjikan mereka akan terima cukai jalan baharu dalam tempoh 24 jam. Kini, apa lagi kami boleh tawarkan kepada pelanggan untuk jana pendapatan hidup kami,” soalnya.
Runner lain, Chop, 38, masih mempersoalkan tindakan drastik menukar sistem cukai jalan ini kepada digital kerana dia menganggarkan pendapatannya bakal terjejas 100 peratus.
“Saya dari 2009 lagi memang kerja sebagai runner cukai jalan, dan gaji itu saya menampung keluarga, bila dah bertukar macam ini, kami nak cari makan macam mana, harap kerajaan fikir balik,” katanya.
















