fbpx

Md. Ratul, remaja dalam kontena akhirnya pulang ke Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak lelaki warga Bangladesh yang ditemui dalam kontena pada 17 Januari lalu dihantar pulang negara asal hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

SEPANG – Selepas lebih sebulan masuk negara ini secara tidak sengaja dengan menaiki kapal membawa kontena, remaja Bangladesh, Md. Ratul Islam Fahim akhirnya dapat pulang ke negara asal.

Kisah dirinya yang terperangkap dalam sebuah kontena selama enam hari sebelum tiba di Pelabuhan Klang, Selangor pada 17 Januari lalu turut tular di laman-laman media sosial tempatan.

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir bagi menyantuni Md. Ratul sendiri di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Dia yang kelihatan sihat turut ditemani pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr. Hartini Zainuddin untuk pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH 196.

Organisasi bukan kerajaan itu yang ditubuhkan sejak 2010 lalu di bawah program khas bagi kanak-kanak kurang bernasib baik dikendalikan oleh pihak Yayasan Salam Malaysia.

Bercakap kepada pemberita, Saifuddin berkata, kes remaja berusia 16 tahun itu disahkan sebagai insiden penumpang ‘gelap’ dan tiada kaitan jenayah pemerdagangan manusia.

“Kita bersyukur satu keajaiban dia masih hidup waima terkurung beberapa hari dalam situ dan kapten kapal mengesahkan sebagai kes stowaway atau penumpang gelap,” katanya.

Justeru, beliau menggunakan peruntukan Seksyen 55 Akta Imigresen 1959 dengan diberi pengecualian mangsa dibawa ke depoh tahanan meskipun tiada dokumen perjalanan sah.

Sebaliknya beliau menyatakan bahawa Md. Ratul dilayan atas dasar kemanusiaan selaras Malaysia meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu 1989.

Ini termasuk memberi keutamaan kepada mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan sebelum diletakkan di bawah jagaan Yayasan Chow Kit.

Dia dipantau sejak 26 Januari lalu dan Pejabat Menteri Dalam Negeri turut menguruskan dokumen perjalanan remaja itu dengan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Penerbangannya turut ditanggung pejabat beliau dan Md. Ratul berlepas ke Dhaka pukul 7.45 malam tadi dengan diiringi pegawai kedutaan bagi bertemu keluarganya di sana. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI