fbpx

KDM umum sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter pada sidang media khas di Ibu Pejabat KDM hari ini. -Foto: Ivan Amirul

PENAMPANG – Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) hari ini mengumumkan sokongan penuh terhadap Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah tanpa sebarang syarat.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, keputusan berkenaan diambil selepas pihak parti itu mempertimbangkan kepentingan rakyat serta kemelut politik yang berlaku di Sabah baru-baru ini.

“Kemelut politik Sabah wajar dijadikan pengajaran bagi kita terus memajukan negeri ini. Saya bersama pimpinan tertinggi KDM membuat keputusan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah untuk menerajui pimpinan tertinggi negeri.

“Perkara paling penting ialah usaha kami untuk bersama membangunkan negeri Sabah dan membantu masyarakat terutamanya pengundi kami,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat KDM hari ini.

Mengulas lanjut, Peter berharap pengumuman sokongan tersebut dapat meredakan kemelut politik Sabah, namun keputusan untuk menerima sokongan KDM terhadap Gagasan Rakyat itu kini terpulang kepada Hajiji.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan, keterbukaan Ketua Menteri sama ada mahu menerima sokongan kami, tetapi di peringkat kita KDM akur dengan keputusan Perdana Menteri oleh kerana di peringkat  Persekutuan kita adalah kerajaan dan di Sabah ini Kerajaan Perpaduan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI