fbpx

Luahan Pembaca: Benarkan pencarum keluar KWSP sebulan lepas Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SETIAP tahun, orang ramai teruja membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri sehingga berlaku banyak pembaziran. – GAMBAR HIASAN

SAUDARA PENGARANG,

Sejak akhir-akhir ini kedengaran ramai pihak mencadangkan supaya satu lagi pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan. Pengeluaran itu dikatakan bagi mengurangkan beban rakyat yang sedang menghadapi masalah ekoran peningkatan kos sara hidup dan ekonomi yang masih belum kukuh.

Walaupun pihak kerajaan telah banyak kali bertegas tiada lagi pengeluaran, namun sekiranya keadaan menjadi terdesak, mereka boleh memberi pertimbangan bagi tujuan berkenaan.

Bagaimanapun sekiranya ia ingin dilakukan, adalah disarankan sebarang pertimbangan untuk membenarkan para pencarum mengeluarkan duit simpanan KWSP hanya dilakukan sebulan selepas kita menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sekarang kita berada di dalam bulan Rejab dan bakal menyambut kedatangan Ramadan serta Aidilfitri tidak berapa lama lagi.

Ini adalah penting bagi mengelakkan risiko salah guna duit berkenaan dilakukan pencarum dalam menyambut kedatangan hari raya.

Setiap tahun kita sering terdengar terdapat banyak pembaziran dalam menyambut Ramadan serta Aidilfitri membabitkan pelbagai segi.

Perlu diketahui, KWSP ini diwujudkan berpuluh tahun dulu dengan harapan utamanya bagi membantu pekerja khususnya mereka yang bekerja di sektor swasta untuk bersara dengan memiliki sejumlah wang bagi kelangsungan kehidupan mereka di hari tua.

Duit simpanan KWSP itu bukannya duit simpanan biasa yang sering kita lakukan dalam bank atau dalam tabung setiap bulan.

Sekiranya duit simpanan KWSP ini dibenarkan untuk dikeluarkan sepenuhnya sebelum sampai waktunya, maka tidak ada lagi keperluan untuk negara kita mewujudkan simpanan persaraan berkenaan.

Adalah penting supaya duit KWSP tidak diganggu bagi melindungi masa tua rakyat.

Untuk rekod, sudah empat kali kerajaan membenarkan duit simpanan KWSP dikeluarkan khusus bagi membantu rakyat yang terkesan akibat daripada penularan virus Covid-19 semenjak tahun 2020.

Sebelum ini, pihak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP melalui i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai 2021 dan terakhir pada 16 Mac 2022 melalui pengeluaran khas sebanyak RM10,000.

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Profesor Madya,
Fakulti Syariah,
Undang –Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI