fbpx

Kerajaan sentiasa memandang serius isu etika kewartawanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Fahmi .

PETALING JAYA – Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak pernah bertindak untuk menghadkan kebebasan media selagi mana penggunaan media eletronik tidak melanggar peruntukan perundangan di bawah Akta 588.

Menterinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, akta itu terpakai bagi media dalam talian dan penyiaran sebaliknya tidak terpakai bagi media cetak yang tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

“Seseorang yang melanggar subseksyen (1) di bawah peruntukan seksyen 211, Akta 588, yang melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

“Berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak kepada kebebasan bersuara, tertakluk kepada apa-apa sekatan melalui undang-undang yang didapati perlu atau suai manfaat demi (antara lain) kepentingan keselamatan Negara, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral,” katanya ketika di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) yang meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan sejauh manakah Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bertindak sebagai Pengawal kepada kebebasan media.

Bagaimanapun, Ahmad Fahmi menjelaskan bahawa Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan Akta Rahsia Rasmi 1972 bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

Sementara itu, bagi menjawab soalan kedua mengenai cara menangani pemberita yang tidak beretika dan jujur dalam menerbitkan laporan media Ahmad Fahmi berkata, kerajaan sentiasa memandang serius isu etika kewartawanan.

“Wartawan seharusnya berpegang teguh kepada prinsip dan etika kewartawanan dengan hanya melaporkan berita yang tepat dan sahih selaras peruntukan undang-undang. Sebarang siaran maklumat yang tidak benar perlulah diperbetulkan segera dengan pemakluman kesilapan tersebut (errata).

“KKD mempunyai perancangan untuk meminda Akta 588 namun tidak bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk memantapkan kerangka kerja kawal selia berkaitan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian (security and reliability),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI