fbpx
PAUL RUDD

Paul Rudd, si manusia semut penyelamat dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMAINKAN karakter ikonik Marvel, Scott Lang atau Ant-Man, Paul Rudd umpamanya tidak mahu mendabik dada bahawa dialah adiwira yang menyelamatkan dunia daripada bahaya villain bernama Thanos.

Selepas kejadian dalam francais Phase Four, Scott Lang mula hidup seperti selebriti. Satu dunia mengenali dirinya dan terkadang, dia mempunyai masalah untuk berdepan hakikat popular!

Ketika ditemui HibGlam menerusi temu bual secara virtual sempena kelahiran filem terbaharu yang menandakan permulaan Phase Five universe Marvel, Paul atau nama sebenarnya, Paul Stephen Rudd dilontarkan persoalan berhubung bahana atau dampak populariti.

Katanya, dia masih tidak mempunyai masalah menjadi orang popular sama ada dalam filem mahupun dalam kehidupan realiti.

SATU-sATU perkara ditakuti Paul Rudd adalah penerimaan dua anaknya, Sullivan dan Darby yang terpaksa berbapakan Ant-Man, si adiwira penyelamat dunia.

Anak

Sungguhpun begitu, apa yang paling ditakuti atau dikhuatirinya adalah bahana populariti terhadap dua orang anak tersayang, Jack Sullivan, 17, dan Darby, 13.

Bukan tidak cakna tentang impak yang datang bersama bahang populariti, namun menurut lelaki berusia 54 tahun itu, tidak semua perihal mampu dikawal atau dipegang cermat.

“Apa yang ditakutkan adalah kesan menjadi orang terkenal terhadap anak-anak saya. Kalau boleh saya nak lihat benda ini (populariti) dari kaca mata mereka (anak).

“Terutama apabila mereka masih kecil, saya sangat gementar kalau mereka tidak boleh berdepan dengan fakta bapa mereka orang yang dikenali dunia,” tuturnya mesra ketika diwawancara baru-baru ini.

Terang Paul lagi, adakalanya dia muak dengan keluhan bintang popular yang selalu ‘bising’ tentang kehidupan sebagai figura popular.

“Satu perkara pelik menjadi orang terkenal. Saya sudah sangat lama bekerja sebagai seorang pelakon.

“Saya rasa agak membosankan apabila sebilangan pelakon mengeluh tentang betapa popularnya diri mereka (ketawa).

“Sebab bagi saya, ada sesuatu yang seronok tentangnya (menjadi terkenal).

“Misalnya, kita dapat melihat banyak perkara dan mudah meraih banyak peluang,” ujarnya.

PERNAH tidak ambil tahu tentang komik Marvel, Paul Rudd tidak menyangka akan dipilih menjadi Ant-Man dan sehingga sekarang masih dikagumi disebabkan karakter tersebut.

Keluarga paling bernilai

Meneruskan bicara, aktor yang mula bertapak dalam dunia lakonan sekitar tahun 1991 itu berpendapat, anak-anak adalah harta paling bernilai buat dirinya.

Dia tidak mahu anak-anak disakiti disebabkan pekerjaan orang tuanya.

“Saya cuma mahu anak-anak memiliki kehidupan yang normal seperti kanak-kanak lain. Saya percaya menjadi satu perkara yang sukar mempunyai orang tua yang dikenali ramai.

“Saya pun tak tahu bagaimana mereka berdepan dengan semua itu. Jadi, perkara yang saya ambil kisah adalah bagaimana populariti memberi kesan terhadap anak-anak yang saya sayangi,” katanya.

Lebih tiga dasawarsa menabur kecintaan dalam dunia lakonan, Paul bagaimanapun mengakui sangat selesa memegang status orang popular.

Baginya, menjadi orang terkenal membuka matanya melihat dunia daripada perspektif berbeza dan lebih meluas.

“Sungguhpun begitu, saya suka apa yang saya buat sekarang. Saya rasa satu penghormatan menjadi seorang aktor terutama berkerja dalam projek Marvel.

“Saya bersyukur jadi orang popular dan ini satu benda yang baik cuma bagaimana cara kita mengendalikan hidup sebagai orang terkenal,” ujarnya.

DALAM sekuel terbaharu, Ant-Man and the Wasp: Quantumania, Scott Lang akan berdepan villain baharu yang memiliki kuasa luar biasa, Kang the Conqueror lakonan Jonathan Majors.

‘Kembar’ Ben Affleck

Ditebak tentang perjalanan karakter Scott Lang sejak daripada naskhah pertama sehingga sekuel terbaharu, Paul berkata, dia sendiri tidak pasti akan impak sebesar sekarang pada mula bersetuju memainkan watak adiwira terbabit.

“Saya tak menjangka Ant-Man akan menjadi ‘sebesar’ sekarang. Bahkan, saya tak tahu tentang The Avengers. Dahulu, ada seorang kawan saya yang merupakan peminat komik beritahu tentang Ant-Man, saya terus jadi berminat nak bawa watak ini sampai sekarang.

“Menarik apabila Ant-Man dipilih menjadi filem pertama untuk Phase Five Marvel. Untuk filem terbaharu ini, Ant-Man akan bertarung dengan villain (watak jahat) paling dahsyat dalam universe Marvel iaitu Kang the Conqueror.

PAUL Rudd sering disangka sebagai Ben Affleck.

“Ant-Man sudah ada tiga filem dan saya sangat-sangat berbangga dengan pencapaian tersebut. Luar biasa,” katanya.

Ditanya soalan luar daripada kotak filem iaitu sama ada pernah berdepan dengan situasi orang ‘tertukar’ dirinya dengan bintang terkenal lain, jawab Paul: “Situasi itu sudah lama tak berlaku kepada saya. Namun beberapa kali sebelum ini, saya pernah disalah anggap sebagai Ben Affleck.

“Waktu itu, saya dalam pesawat nak ke satu destinasi. Saya terpaksa kena terangkan banyak kali bahawa saya bukan Ben Affleck. Mereka tetap berkeras untuk percaya bahawa saya menipu dan saya adalah Ben Affleck.”

Dalam naskhah Ant-Man and the Wasp: Quantumania, Paul sebagai Scott Lang akan berdepan villain baharu yang memiliki kuasa luar biasa, Kang the Conqueror lakonan Jonathan Majors.
Filem arahan sutradara Peyton Reed itu yang merupakan karya pertama Phase 5 Marvel yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 16 Februari 2023.

PAUL RUDD hanya mampu ketawa apabila menyaksikan ramai dalam kalangan selebriti popular merungut tentang kesukaran bergelut dengan impak populariti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN