fbpx

Penduduk bimbang buaya sering muncul di longkang besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seekor buaya yang bersaiz besar muncul di longkang besar perkampungan Cenderawasih di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Kelibat seekor buaya dipercayai spesies tembaga yang dilihat berjemur di longkang besar di Perkampungan Cenderawasih, Bukit Setongkol di sini menimbulkan keresahan dan kebimbangan penduduk.

Reptilia dengan ukuran kira-kira tiga meter itu diilihat naik ke tebing longkang besar terbabit pada pukul 4 petang tadi.

Seorang penduduk, Muhd. Idlan Subhi, 39, berkata, tahun ini sahaja sudah tiga kali dia melihat buaya itu berada di tebing longkang besar perkampungan berkenaan, tetapi hari ini saiz buaya itu dilihat lebih besar daripada biasa.

“Walaupun tiada apa-apa kejadian serangan buaya dilaporkan setakat ini, tetapi kita risau sebab kanak-kanak selalu bermain di sini.

“Bimbang juga kalau tiba-tiba ada budak terjatuh, ia pasti boleh mengundang bahaya, jadi kita merasakan perlu pemantauan daripada pihak berkaitan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Cenderawasih di sini, hari ini.

Dalam pada itu seorang lagi penduduk, Mohd. Azhar Mat Kassim, 46, berkata, dia hanya mengetahui kehadiran buaya di kawasan terbabit selepas dimaklumkan isterinya kira-kira pukul 4 petang tadi.

“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan apabila saya sampai, saya lihat saiz badannya besar, saya anggarkan buaya ini berukuran tiga meter panjang dan beratnya sekitar 200 hingga 250 kilogram.

“Kalau sebelum ini, saiz buaya yang datang berjemur di tebing longkang itu kecil sahaja, tetapi kali ini agak luar biasa besar,” katanya yang sudah dua kali melihat kelibat reptilia itu di lokasi sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI