fbpx

Hospital Putrajaya perjelas isu tular di Twitter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Hospital Putrajaya mengambil maklum hantaran dibuat seorang pengguna media sosial berhubung isu kesesakan pesakit di jabatan kecemasan dan trauma hospital berkenaan baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Nora’ Mohd. Said berkata, ketika kejadian yang berlaku pada syif malam, jumlah keseluruhan pegawai perubatan bertugas ialah 13 orang dan mereka ditempatkan di setiap zon di bilik rawatan.

“Petugas lain termasuk jururawat juga bertugas pada kapasiti maksimum iaitu bagi menangani kedatangan pesakit yang tinggi.

“Petugas-petugas telah berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik bagi pesakit-pesakit yang datang ke jabatan kecemasan selain doktor serta kakitangan bergilir untuk memanggil pesakit,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, bilangan pesakit pada pukul 11 malam sehingga 1 pagi di Zon Hijau pada 13 Februari 2023 sahaja ialah seramai 95 orang.

“Berhubung isu kerusi roda rosak dan tidak mencukupi, pihak hospital menyediakan 15 buah kerusi roda bagi pesakit memerlukan dan mereka boleh menukar kerusi roda pada bila-bila masa.

“Pesakit atau waris boleh memohon kerusi roda kepada petugas kaunter ‘triage’ yang disediakan. Waris juga boleh mendapatkan kerusi roda tambahan di kaunter keselamatan di lobi utama,” jelasnya.

Jelasnya lagi, buat masa ini, orang ramai tidak digalakkan oleh pihak jabatan kecemasan untuk berada di kawasan tidak sesuai atas faktor keselamatan.

“Ruang menunggu disediakan berhampiran kawasan kaunter farmasi jabatan kecemasan selain boleh menunggu di dalam kawasan ruang legar lobi utama.

“Orang awam juga dinasihatkan untuk mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran terlebih dahulu bagi kes-kes bukan kecemasan dan memberi laluan kepada pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI