fbpx

Balasan dagang jenazah, tiga menangis dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari depan. Mohd. Shah, Muhamad Yusri Hairul Nizam dan Mohd. Riduan ketika hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam. FOTO: AFIQ RAZALI/KOSMO!

SHAH ALAM – Perbuatan tiga kakitangan Hospital Serdang menerima rasuah bagi memperdagangkan jenazah mendapat balasan setimpal apabila dijatuhi penjara antara tiga hingga lima bulan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas kesemua tertuduh Mohd. Shah Rizan Yasak, 43; Mohd. Riduan Ibrahim, 41 dan Muhamad Yusri Yusof, 36
mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan secara berasingan kepada mereka.

Ketiga-tiga tertuduh juga dikenakan denda antara RM5,000 hingga RM20,000 atau berdepan penjara tambahan antara tiga hingga enam bulan.

Kesemua mereka yang tidak diwakili peguam itu didapati menangis selepas dijatuhi hukuman itu.

Rozilah dalam penghakimannya menjelaskan tanggungjawab semua tertuduh adalah mulia dan sepatutnya menolak apabila ditawarkan rasuah.

“Jangan bagi cadangan atau peluang dan sepatutnya menegur (perbuatan rasuah) baru ada integriti sebagai penjawat awam.Kamu telah gagal.

“Dapat duit (gaji) sedikit, biar berkat. Ada fikiran yang Allah bagi untuk menilai baik dan buruk. Apa yang kamu buat ini salah dan harap hukuman ini jadi kifarah kepada kamu,” tegasnya.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka sebagai Pembantu Perawatan Kesihatan Gred U11, di Unit Forensik Hospital Serdang telah menerima wang tunai masing-masing RM1,100, RM3,550 dan 6,250 menerusi pemindahan atas talian dalam akaun bank masing-masing daripada pemilik sebuah syarikat yang berusia 32 tahun bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.

Perbuatan itu dilakukan antara 18 Mac 2018 hingga 7 Ogos di dua cawangan bank berlainan sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang dan Banting.

Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pada prosiding di mahkamah sama, seorang lagi rakan mereka iaitu Hairul Nizam Idris, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan termasuk pilihan menerima wang tunai RM1,100 daripada individu sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Kajang pada 20 dan 23 April 2018.

Justeru dia dakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah 24 (1) akta yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Selain itu, bapa tiga anak itu juga didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Hairul yang diwakili Peguam Siti Nurul Jannah Rizali dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM. Sebutan semula kes ditetapkan 17 Mac depan.

Sepanjang prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd. Alif Shaharuzaman. -KOSMO!ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI