fbpx

Mahkamah: Dua rakan mengaku salah rompak, menyamar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dua rakan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan merompak seorang lelaki dengan mengheretnya menggunakan motosikal serta menyamar sebagai pegawai polis.

Muhammad Zuraidi Abdullah, 28, dan Muhd Ammar Haziq Zulkifli, 27, membuat pengakuan bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya didakwa melakukan rompakan berkumpulan sebuah telefon bimbit jenama Apple iPhone 6 Plus milik seorang lelaki berusia 25 tahun dan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mengheretnya menggunakan motosikal.

Bagi pertuduhan pertama itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa menyamar sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis bagi tujuan melakukan rompakan yang didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Jalan Kuchai Maju, di sini, pukul 4.30 pagi pada 28 Januari lalu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh. Pihak pendakwaan memohon tarikh lain untuk membaca fakta sebelum jatuh hukum.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu kemudian tidak diikat jamin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI