fbpx

Lagi suspek sindiket pengagihan kuota umrah direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek direman empat hari sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan selepas permohonan reman dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dengan sindiket rasuah pengagihan kuota tiket penerbangan umrah direman empat hari sehingga 15 Februari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

Menurut sumber, suspek seorang lelaki yang juga berupakan pengarah urusan di sebuah agensi pelancongan di Selangor ditahan kira-kira pukul 3.30 petang ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

“Suspek ketujuh yang berusia 35 tahun ini dipercayai memberi suapan kepada suspek pertama dan kedua yang ditahan reman sebelum ini sebagai balasan membantu ejen pelancongannya mendapatkan tiket penerbangan untuk menunaikan ibadah umrah.

“SPRM juga telah memanggil beberapa saksi dari syarikat berkaitan dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil lebih ramai lagi saksi bagi membantu siasatan,” katanya hari ini.

Menurut beliau, SPRM turut menyita eang tunai berjumlah kira-kira RM160,000, telefon bimbit dan beberapa buah komputer riba yang digunakan oleh suspek terbabit.

“Siasatan SPRM adalah menjurus kepada salah laku jenayah rasuah dalam kalangan pegawai-pegawai syarikat yang merupakan ejen tunggal kepada syarikat penerbangan luar negara.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur salah laku oleh syarikat (ejen tunggal) ini tetapi pegawai-pegawai syarikat ini yang telah memanipulasi penjualan tiket melalui ‘komisyen’ yang diminta dari syarikat- syarikat pelancongan lain untuk kepentingan sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan yang dilakukan juga mendapati syarikat ejen tunggal tersebut telah menyempurnakan penjualan tiket-tiket berdasarkan kepada kuota yang dipersetujui dan ditetapkan oleh syarikat penerbangan luar negara berkaitan.

“Justeru, tiada timbul kebimbangan terhadap pengurangan jumlah kuota sedia ada yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada syarikat penerbangan luar negara tersebut kerana syarikat ejen tunggal sentiasa berjaya memenuhi kuota tiket seperti yang diperuntukkan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Siang ketika dihubungi mengesahkan tangkapan serta reman tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, Kosmo! Online pada 10 Februari lalu melaporkan enam individu yang terdiri daripada pengarah serta kakitangan di enam buah syarikat pelancongan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan sama.

Kesemua suspek yang berusia 34 hingga 55 tahun itu telah ditahan SPRM dalam beberapa siri operasi khas masing-masing di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Difahamkan, modus operandi sindiket berkenaan adalah mengenakan bayaran rasuah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket jemaah umrah bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI