fbpx

Enam individu terlibat sindiket kuota tiket penerbangan umrah direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua enam suspek direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melibatkan pengagihan kuota tiket penerbangan umrah.

PUTRAJAYA – Seramai enam individu yang terdiri daripada pengarah serta kakitangan di enam buah syarikat pelancongan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melibatkan pengagihan kuota tiket penerbangan umrah.

Kesemua enam suspek tersebut dibenar reman sehingga 13 Februari ini oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia 34 hingga 55 tahun itu telah berjaya ditahan SPRM dalam beberapa siri operasi khas masing-masing di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah semalam.

Ujar beliau, kesemua suspek tersebut dipercayai terlibat dalam menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah yang kononnya berbentuk komisyen.

“Salah sebuah syarikat terbabit telah dilantik oleh syarikat penerbangan antarabangsa sebagai ejen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk bagi setiap penerbangan mengerjakan umrah

“Modus operandi sindiket ini ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah,” katanya hari ini.

Sumber tersebut memaklumkan, bayaran itu dibuat bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Menurut beliau, sindiket tersebut dipercayai telah menjalankan kegiatan itu sejak 2018 lagi dengan anggaran tiket yang telah diagihkan dikatakan sebanyak 216,000 keping melibatkan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.

“Baru-baru ini, timbul isu berhubung kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana terdapat sindiket yang memonopoli kuota tiket dan penjualan tiket dengan harga yang tinggi.

“Agensi-agensi pelancongan umrah kemudian terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan kuota jemaah mereka mendapatkan tempat duduk penerbangan. Ini merupakan antara faktor kenapa harga tiket penerbangan umrah tinggi,” jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan akan ada lebih ramai lagi yang dijangka ditahan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI