fbpx

BSMM sasar RM1.5 juta bantu mangsa Syria, Turkiye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Temenggong Kedah melancarkan kutipan dana gempa bumi Syria, Turkiye di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM- Foto BSMM

KUALA LUMPUR – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) hari ini telah membuka kutipan sumbangan bagi membantu mangsa gempa bumi di Syria dan Turkiye.

Pengerusi Kebangsaan BSMM, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperoleh dalam tempoh dua minggu.

“Jumlah kematian terus meningkat dan dikhuatiri ramai yang terkesan kerana terperangkap dalam cuaca yang sejuk dengan bacaan sifar darjah Celcius buat masa ini.

“Justeru, kita ‘target’ sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperoleh dalam masa dua minggu supaya bantuan boleh disalurkan segera rentetan faktor cuaca, kecederaan mangsa, kemusnahan tempat tinggal dan kemudahan lain,” kata Tunku Temenggong Kedah pada sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM pagi ini.

Katanya, susulan hampir 60 peratus hospital lumpuh, beliau memohon Hospital Swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk menyumbang bantuan seperti ubat-ubatan, antibiotik, ubat penahan sakit, pembalut luka, kerusi roda, barangan bayi, pad sanitasi wanita dan sebagainya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengelola, Raja Datuk Nazrin Raja Tan Sri Aznam berkata, kedutaan Turkiye turut meminta sumbangan perkakas elektrik, pengecas solar, peralatan dapur dan makanan bersesuaian.

“Mereka juga perlu selimut, beg tidur, pakaian sejuk, pemanas air dan makanan sedia dimakan (ready to eat) bagi memudahkan mangsa.

“Untuk makanan lain, kita bercadang untuk beli sahaja disana sekaligus membantu ekonomi negara mereka.

“Seterusnya, kita juga memerlukan bekalan air bersih disebabkan bekalan air mereka terganggu akibat gempa bumi tersebut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Tunku Temenggong Kedah menyeru orang ramai untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana Syria dan Turki bagi meringankan beban mereka.

Menurut beliau, sumbangan berkenaan bermula hari ini dan mereka yang ingin menghulurkan bantuan, boleh salurkan ke akaun Maybank BSMM (514422102657). -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI