fbpx

51 pengusaha perniagaan dikompaun, pekerja wanita tak tutup aurat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja wanita dikesan memakai baju-t lengan pendek dalam operasi khas yang dijalankan di Kota Bharu baru-baru ini. -Foto IHSAN MPKB-BRI

KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan kompaun kepada 51 pengusaha premis perniagaan atas kesalahan pekerja wanita tidak menutup aurat secara sempurna sepanjang tahun lalu.

Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, pengusaha itu dikenakan kompaun menerusi operasi khas melibatkan premis di bawah pentadbiran MPKB-BRI.

Menurutnya, hasil daripada operasi itu, pihaknya mendapati masih ada pekerja wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna seperti memakai baju-t berlengan pendek dan terlalu ketat.

“Kita mengeluarkan kompaun maksimum sebanyak RM500 kepada pengusaha tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan, Perniagaan dan Perindustrian MPKB-BRI bagi kesalahan tidak menutup aurat dan berpakaian tidak sopan.

“Bagi tahun 2021 pula, sebanyak 35 kompaun dikeluarkan kepada pengusaha premis perniagaan atas kesalahan itu. Jumlah itu menunjukkan peningkatan pada tahun lalu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, kakitangan Jabatan Pembangunan Islam, MPKB-BRI sedang mempergiat semula operasi dengan memberi nasihat kepada pekerja-pekerja di premis perniagaan agar menutup aurat secara sempurna dan berpakaian sopan kepada wanita bukan Islam.

Katanya, ia merupakan satu usaha berterusan yang perlu dilakukan disamping tindakan kompaun terhadap mereka yang melanggar syarat yang ditetapkan.

“Usaha orang ramai terutamanya wanita di Kota Bharu untuk menutup aurat sudah boleh dipuji. Tetapi, pemahaman sebenar mengenai had atau batasan aurat seharusnya benar-benar dipatuhi.

“Masih ada wanita yang keliru apabila memakai tudung, namun berpakaian terlalu ketat dan berlengan pendek,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI