fbpx

Saintis temui mikroplastik dalam tisu urat manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyelidik ketika ini masih belum mengetahui implikasi mikroplastik yang ditemui itu terhadap kesihatan manusia. – AFP

LONDON –  Pasukan  penyelidik dari Universiti Hull di England terkejut apabila menemui mikroplastik buat kali pertama dalam tisu urat manusia, lapor laman berita RT semalam.

Lima jenis mikroplastik berbeza ditemui dalam beberapa sampel yang diambil daripada urat saphenous (kaki) beberapa pesakit yang menjalani pembedahan pintasan jantung.

“Kami terkejut menemui mikroplastik tersebut.

“Kita sedia maklum bahawa mikroplastik berada di dalam darah, namun tidak jelas sama ada ia boleh melintasi saluran darah ke dalam tisu vaskular dan kajian ini mencadangkan bahawa perkara itu berlaku,” kata penulis  kajian, Profesor Jeanette Rotchell dalam satu kenyataan akhbar.

Berdasarkan kajian tersebut, mereka  mendapati purata kepekatan 15 zarah plastik bagi setiap gram tisu urat adalah sama atau lebih tinggi daripada paras yang terdapat dalam tisu paru-paru dan kolon.

Namun, mereka memerhatikan bahawa bentuk dan jenis plastik yang terdapat dalam tisu vaskular adalah berbeza dengan plastik dalam  tisu lain.

Jenis plastik  paling biasa ditemui dalam sampel kajian termasuk resin alkyd  yang terdapat dalam cat sintetik dan polivinil asetat iaitu  sejenis pelekat digunakan dalam pembungkusan dan penghantaran. Turut ditemui ialah EVOH-EVA di mana plastik itu digunakan sebagai pelapis kedap air.

Meskipun Rotchell menekankan bahawa penyelidik masih belum mengetahui implikasi pencemaran mikroplastik terhadap kesihatan manusia, beliau mengaku bahan itu terbukti menyebabkan tindak balas keradangan dalam persekitaran makmal. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI