fbpx

Gempa bumi Turkiye, Syria: Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ucapan takziah oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang telah meninggal dunia ekoran tragedi gempa bumi kuat di Turkiye dan Syria, hari ini.

Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ratusan nyawa dalam tragedi tersebut serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mangsa sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh mangsa yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan ucapan takziah dan rasa simpati kepada Kerajaan Turkiye dan Kerajaan Syria serta rakyatnya atas musibah yang telah melanda dengan kehilangan nyawa ratusan rakyat dan kerosakan harta benda serta infrastruktur,” kata kenyataan itu malam ini.

Kata kenyataan itu juga, dalam tempoh kesedihan ini juga, Seri Paduka Baginda berdua dan Malaysia bersolidariti dengan rakyat Turkiye serta Syria dan mendoakan agar mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan akibat tragedi itu dapat diselamatkan dengan segera serta mereka yang tercedera dikurniakan kesembuhan segera.

“Sehubungan dengan musibah itu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru masjid-masjid dan surau-surau di negara ini untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah untuk keselamatan mangsa mereka dan keluarga mereka.

“Seri Paduka Baginda turut menyeru masjid-masjid dan surau-surau untuk mengadakan solat jenazah ghaib bagi memohon keampunan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk mereka yang telah kembali ke Rahmatullah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI