AMALAN memakai susuk bagi tujuan menaikkan seri wajah dan awet muda lazimnya dikaitkan dengan budaya masyarakat Melayu zaman dahulu.
Dalam kalangan jurusolek atau lebih dikenali sebagai ‘mak andam’, susuk amat diperlukan untuk menaikkan seri wajah pengantin yang disolek.
Kebiasaannya, susuk jarum emas akan dimasukkan ke dalam badan pengantin perempuan dan disertakan pula dengan bacaan jampi mengikut ritual ilmu mak andam tersebut.
Sejajar peralihan zaman dan kesedaran ilmu agama Islam dalam kalangan masyarakat Melayu, ia telah membawa banyak pendedahan tentang maksud sebenar susuk. Ia secara terang bertentangan dengan ajaran Islam.
Kisah yang ingin diceritakan ini melibatkan pengalaman misteri dialami seorang penjawat awam yang dikenali sebagai Said (bukan nama sebenar).
Lelaki berusia 39 tahun ini berkongsi pengalaman misteri semasa menjaga neneknya yang uzur dan menghidap penyakit misteri selama 15 tahun, sebelum dia akhirnya meninggal dunia dua tahun lalu.
Menurut Said, sekitar pertengahan tahun 2008 sewaktu sedang berurusan di Alor Setar, Kedah, dia telah menerima panggilan telefon daripada ibunya yang memaklumkan bahawa neneknya sedang nazak di rumahnya di Sungai Petani.
Katanya, ketika sampai di rumah, dia mendapati wanita berusia 75 tahun itu yang sebelum ini kelihatan sihat secara tiba-tiba terbaring lemah di atas katil seperti sedang berdepan dengan sakaratul maut.
“Seluruh ahli keluarga yang tinggal berdekatan sudah mula berkumpul untuk membaca surah Yasin.
“Suasana sedih dan pilu menyelubungi seisi keluarga kami ketika itu. Seolah-olah kami bakal kehilangan nenek kesayangan buat selama-lamanya.
“Kemuncak hari itu adalah apabila nenek bagaikan sedang menghembus nafas terakhir sebelum matanya terpejam rapat.
“Namun, beberapa detik kemudian dia kembali bernafas sehingga menyebabkan ahli keluarga yang hadir terkedu melihat keadaan itu,” katanya.
Said berkata, neneknya seolah-olah hanya pengsan seketika pada hari itu, sebelum sedar kembali selepas beberapa minit dalam keadaan sangat lemah dan tidak bermaya.
“Sejak itu, hidup nenek berubah sekelip mata, daripada seorang yang sihat dan cergas menjadi lemah.
“Dia hanya mampu terbaring di atas katil dan semua rutin hariannya perlu dibantu.
“Sikapnya turut berubah 360 darjah, daripada seorang yang tenang dan penyabar kepada seorang cepat marah apabila kehendaknya tidak dituruti,” katanya
Said memberitahu, hasil pemeriksaan doktor menunjukkan neneknya mengalami masalah jantung serta darah tinggi dan sejak itu dia perlu bergantung dengan ubat.
“Anehnya, sejak peristiwa itu nenek sentiasa meminta kami untuk memicit kedua-dua belah kakinya, selain sentiasa mahu ada orang menemaninya.
“Kedua-dua belah kakinya perlu dipicit 24 jam kecuali ketika dia tidur. Jika permintaannya tidak dituruti, dia akan marah dan menjerit kesakitan.
“Ada ketikanya, nenek akan bercakap sendirian dalam bahasa yang kami tidak faham. Dia tidak nyanyuk kerana masih boleh mengingati peristiwa lama termasuk mengenali saudara-mara yang datang menziarahinya.
“Nenek memberitahu kakinya terasa bagaikan dicucuk jarum dan perlu dipicit bagi menghilangkan kesakitan itu,” jelasnya.
Keadaan itu telah berlanjutan selama bertahun-tahun dan pelbagai kaedah rawatan telah dilakukan termasuk perubatan Islam.
“Berpuluh-puluh pengamal perubatan alternatif sudah datang ke rumah kami untuk mencari punca kesakitan itu tetapi pulang hampa,”ujarnya.
Katanya, rata-rata mereka yang datang merawat neneknya mengaitkan penyakitnya itu dengan unsur saka dan makhluk halus.
“Bagaimanapun, tiada sebarang rawatan yang berjaya memulihkan kesakitan pada kaki nenek itu,” katanya.
Sekitar tahun 2015, seorang pengamal perubatan dipanggil untuk merawat nenek tersebut di rumah.
Pengamal perubatan itu memberitahu bahawa terdapat lembaga hitam besar di kawasan rumah nenek yang menjadi ‘panglima’ menjaga keturunan mereka selama ini.
“Lelaki itu memberitahu bahawa dia tidak mampu untuk membuang lembaga tersebut kerana sudah lama berada di situ,” jelasnya.
“Sejak itu, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak lagi memanggil mana-mana pengamal perubatan alternatif dan nenek hanya bergantung pada ubat, manakala sakit kakinya itu masih berterusan.
“Setelah sekian lama berhenti berikhtiar, pada tahun 2020, salah seorang saudara kami telah membawa pengamal perubatan Islam dari Yan untuk memeriksa keadaan nenek.
“Selepas memeriksa, lelaki tersebut memberitahu bahawa terdapat susuk emas di kaki kiri nenek.
“Menurut nenek, dia tidak tahu mengenai susuk emas tersebut.
“Kemungkinan ia dipakaikan oleh mak andam tanpa disedarinya ketika disolek sebelum melangsungkan perkahwinan dahulu,” ujarnya.
Katanya, pengamal perubatan itu mendakwa telah mengeluarkan susuk emas berkenaan, sebelum memberitahu ada dua kemungkinan akan berlaku pada nenek.
“Pertama, dengan izin Allah SWT mungkin kakinya akan kembali sembuh dan tidak perlu dipicit lagi. Kedua, nenek mungkin akan meninggal dunia,” jelasnya.
Katanya, setahun kemudian iaitu pada Mac 2021, ibu Said menghubunginya untuk memaklumkan bahawa neneknya telah menghembuskan nafas terakhir pada hari tersebut.
“Nenek meninggal dunia ketika berusia 90 tahun dan majlis pengebumiannya berjalan lancar,” ujarnya.
Ujar Said, dia masih keliru sama ada kematian itu adalah rentetan tindakan pengamal perubatan Islam yang membuang susuk emas di kaki nenek.
“Sebagai umat Islam, saya percaya wujudnya makhluk lain seperti jin dan syaitan. Setiap kejadian yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT,” tambahnya
















