fbpx

Puas dapat jinak peacock bass guna umpan tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMMAD FAIZ menunjukkan ikan peacock bass yang berjaya didaratkan di Tasik Puchong Prima, Puchong, Selangor.

KEBANYAKAN kaki pancing yang menjadikan aktiviti memancing sebagai sukan lebih gemar menggunakan umpan tiruan atau gewang berbanding umpan hidup

Pastinya, umpan tiruan lebih praktikal kerana memberi kebebasan kepada pemancing dan mereka tidak perlu mengotorkan.

Salah seorang kaki pancing, Mohammad Faiz Rusli, 38, berkata, dia lebih gemar menggunakan umpan tiruan kerana suka akan cabaran ketika ‘memikat’ ikan.

“Memancing dengan menggunakan umpan tiruan lebih mencabar dan sangat menyeronokkan. Ini kerana ia dapat menguji kemahiran teknikal seorang pemancing.

“Biasanya, pemancing akan menggunakan teknik casting ketika memancing dengan umpan tiruan,” ujarnya kepada Gewang baru-baru ini.

Menurut Mohammad Faiz, pemancing perlu menggunakan gewang mengikut cara yang bersesuaian.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memujuk pemangsa yang ‘rakus’ agar memakan umpan tersebut.

Mohammad Faiz berkata, dia gemar memancing menggunakan umpan tiruan di Tasik Puchong Prima, Puchong, Selangor kerana lokasi itu sangat popular dengan ikan pemangsa.

“Saya sering ke tasik ini kerana terdapat beberapa spesies pemangsa atau predator yang boleh dijadikan sasaran ketika guna gewang.

“Antara spesies yang paling popular di tasik ini adalah spesies peacock bass (ikan raja), haruan dan toman,” jelasnya.

Tambahnya, dia selalu ke tasik tersebut kerana spesies ikan kegemarannya iaitu peacock bass atau nama saintifiknya Chicla spp banyak terdapat di situ.

Sementara itu, dia memaklumkan, gewang yang digunakan perlu bersesuaian dengan tempat dan ikan yang diinginkan.

Ujarnya, jika menyasarkan spesies pemangsa, dia akan menggunakan gewang lebih besar yang menyerupai bentuk katak dan ikan.

“Saya juga suka mencuba bermacam-macam jenis gewang mengikut keadaan air dan ikan disasarkan.

“Majoriti gewang yang terdapat di pasaran adalah seperti katak, anak ikan dan serangga,” katanya.

Sebahagian umpan tiruan atau gewang yang sering digunakan oleh Mohammad Faiz

Kebanyakan pemancing perlu mengambil cakna tentang diet ikan diburu sebelum membuat pemilihan gewang.

Sekiranya ingin ikan besar makan, gewang juga perlu bersaiz besar.

Jelas Mohammad Faiz, gewang juga direka untuk pelbagai aksi seperti ‘bermain’ di atas permukaan air dan selaman dalam.

“Ikan yang aktif biasanya akan makan gewang yang terapung di atas permukaan air.

“Manakala, ikan yang tidak aktif gemar duduk di bawah air. Jadi, kita perlu menggunakan gewang selaman dalam. Contoh gewang selaman dalam adalah seperti crankbait dan jerk minnow,” terang Faiz.

Ada beberapa teknik yang boleh digunakan oleh kaki pancing bagi mengerakkan gewang seperti umpan hidup ketika di dalam air.

Antaranya adalah karauan lurus, karauan perlahan, twitching and jerking, stop and go, ripping, pumping serta walking.

Mohammad Faiz berkata, aktiviti memancing memberikan kepuasan kepadanya apabila dia berjaya ‘pikat’
ikan pemangsa dengan hanya menggunakan gewang.

“Anggaran berat peacock bass yang berjaya didaratkan oleh saya sebelum ini adalah dalam lingkungan 800 gram hingga 2 kilogram seekor.

“Ikan-ikan ini saya dapat ketika memancing di Tasik Puchong Prima.

“Ada peacock bass yang lebih besar, namun spesies berkenaan tidak terdapat di negara ini,” terangnya.

Biarpun peacock bass merupakan ikan kegemarannya, namun Mohammad Faiz memberitahu, dia sentiasa mengamalkan konsep catch and release bagi memastikan spesies berkenaan tidak pupus di tasik itu.

Dalam pada itu, dia memberitahu, aktiviti memancing memerlukan strateginya yang tersendiri di mana pemancing perlu tahu dan peka dengan pasang surut air serta cuaca.

“Cuaca sangat mempengaruhi bite rate ikan. Ada spesies yang aktif apabila hujan.

“Contohnya, sebarau tetapi ikan-ikan lain agak kurang makan umpan ketika hujan,” jelasnya.

Dia menambah, memiliki peralatan yang bagus serta pengetahuan merupakan kunci kepada aktiviti memancing berkualiti.

“Aktiviti memancing akan menjadi lebih mudah apabila pemancing mempunyai pengetahuan dan peralatan memancing terbaik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI