fbpx
BANYAK elemen lain yang mencetuskan kecurangan, salah satunya menurut Fazley apabila seseorang itu tidak berkongsi masalah dihadapi dengan pasangan sendiri.

Tak salah penyondol 100 peratus – Fazley Yaakob

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan suami atau isteri yang memilih untuk menjalin hubungan dengan orang ketiga adakalanya sekadar memenuhi fantasi yang tidak diperoleh bersama pasangan masing-masing.

Dia yang juga perunding motivasi berkata kepada Kosmo! Online, seharusnya kesalahan tidak boleh 100 peratus diletakkan pada bahu ‘penyondol’ mahupun pasangan curang memandangkan banyak elemen lain menjadi pencetus terhadap situasi tersebut.

“Isu orang ketiga dan curang terlalu subjektif untuk diulas, namun itu juga antara penyebab gangguan terhadap keharmonian sesebuah ikatan perkahwinan.

“Kalau kita nak diganggu dan benarkan gangguan, itu adalah pilihan tetapi jangan abaikan elemen sampingan kerana tuding menuding takkan selesai jika memang rumah tangga sedia bermasalah.

“Bagi saya tidak semua penyondol itu bersalah dan tidak semua yang disondol itu silap kerana kadangkala, ada perkara berkaitan hal dalaman yang tidak dikongsi dengan pasangan mahupun orang lain.

“Jadi apabila mereka memilih mencari insan ketiga sebagai cara untuk bahagia, adalah penting bagi kita memahami keadaan pihak terbabit secara menyeluruh sebelum menyalahkannya.

“Rata-rata yang pernah mengadu kepada saya mengaku segan atau takut meluahkan keinginan kepada suami atau isteri kerana bimbang penolakan hingga mereka pilih berkongsi perasaan itu dengan orang baharu,” kata Fazley.

UJAR Fazley, pasangan tidak seharusnya menjadikan kurang komunikasi atau tiada lagi kemesraan sebagai alasan untuk curang.

Tambahnya yang sudah bertahun-tahun memberikan ceramah motivasi juga mengakui pendapat tersebut tidak bermakna dia menyokong kecurangan, sebaliknya berharap suami atau isteri lebih berterus terang dengan pasangan.

Katanya lagi, keintiman antara suami isteri dapat terus disemarakkan andai masing-masing tidak mengambil jalan mudah dengan menjadikan kurang komunikasi atau tiada lagi kemesraan sebagai alasan.

Fazley berkata demikian berhubung pandangannya mengenai isu kecurangan yang hangat diperkatakan ketika ditemui pada sesi memperkenalkan menu baharu air tangannya di CU, semalam.

Mengenai kolaborasi dengan kedai serbaneka popular Korea Selatan di bawah BGF Retail tersebut, katanya itu satu pencapaian membanggakan apabila makanan ready-to-eat (sedia untuk dimakan) termasuk Laksa Negeri Sembilan dapat dinikmati ramai.

Resipi lain ciptaan Fazley yang turut dijual di kedai popular itu adalah Roti Bandung Strawberi, Sambal Oren Nasi Lemak Ikan Gimbap, Sandwic Telur Mayonis Pulled Beef Lemak Cili Api dan Nasi Goreng Yuan Yang Sejahtera dengan Ayam Tumis Rumpai Laut.

“Kerjasama strategik ini juga membuktikan makanan tradisi Malaysia dapat diserasikan dengan bahan masakan Korea Selatan yang tentu sahaja menjadi kombinasi menyelerakan.

“Saya berharap hidangan yang sudah sedia mendapat sambutan di CU ini dapat dinikmati masyarakat negara itu termasuk ikon dunia hiburan Korea Selatan, BTS. Berangan itu percuma,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN