GUA MUSANG – Kebimbangan mengenai ancaman gajah liar di tiga buah kampung di Pos Brooke di sini, memaksa lebih 500 penduduk Orang Asli tampil mendesak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk segera memindah haiwan berkenaan.
Menurut penduduk, seekor daripada empat ekor gajah yang berkeliaran bebas di Kampung Kuala Rengil, Kampung Brooke Lama dan Kampung Liak sejak tiga bulan lalu telah mengakibatkan kemusnahan hasil tanaman.
Gajah liar tersebut turut muncul di tepi jalan dan pekarangan Klinik Kesihatan Pos Brooke pada minggu lalu.
Seorang penduduk dari Kuala Rengil, Rajis Angah, 48, berkata, lebih membimbangkan gajah tersebut dikesan berkeliaran di kawasan rumah pada waktu malam untuk mencari makanan.
Dakwanya, gajah liar jantan itu pernah bertindak agresif apabila mengumpil dinding rumah penduduk di Kampung Liak di sini untuk mencari makanan.
“Sebelum ini, gajah tidak pernah sampai di kampung ni. Kini, haiwan itu bukan sahaja memusnahkan tanaman, tetapi sampai dekat pintu rumah.
“Jadi, kami risau untuk ke kebun dan begitu juga dengan anak-anak yang mahu ke sekolah. Kami berasa terhimpit dan takut kerana gajah masih berlegar-legar di sekitar Kuala Rengil dan Kampung Liak,” katanya.
Berita berkaitan: Gajah liar musnahkan kebun penduduk Orang Asli
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berharap langkah yang terbaik dapat dilakukan kerajaan dan Perhilitan.
Katanya, penduduk mahu gajah liar itu dipindahkan ke kawasan lain bagi mengelakkan ancaman kepada penduduk setempat.
“Semakin hari semakin habis tanaman kami dimusnahkan. Keselamatan kami juga terancam dan berharap Perhilitan dapat ambil tindakan segera,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihak Perhilitan telah mengambil tindakan kira-kira sebulan lalu dengan memantau kawasan berkenaan, namun masalah itu tidak berkesudahan kerana gajah masih lagi berada dalam kawasan itu.
“Saya berharap agar pampasan dapat disediakan kepada lebih 30 penduduk kampung yang menanam sayur-sayuran, ubi kayu, pisang dan jagung,” katanya.
Kosmo! pada 5 Januari lalu melaporkan mengenai keluhan penduduk di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini apabila mereka kerugian RM20,000 apabila tanaman seperti ubi kayu, pisang, tebu dan petai yang diusahakan dimusnahkan gajah liar.