fbpx

Masjid, surau seliaan Jakim diseru buat solat hajat doa rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Masjid dan surau bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diseru untuk mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan rakyat di Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk bersolidariti, berdoa dan munajat berikutan simpati terhadap penderitaan dialami rakyat Palestin.

“Saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan simpati terhadap penderitaan dialami rakyat Palestin di Gaza menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk bersolidariti, berdoa dan munajat.

“Ia khususnya dengan mengadakan solat hajat dan Qunut Nazilah di seluruh masjid dan surau di bawah seliaan Jakim dan Jawi,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, semua imam masjid dan surau Jakim serta Jawi diseru memimpin Qunut Nazilah dalam solat berjemaah terutamanya pada solat subuh, maghrib dan isyak.

“Pada masa sama, perlu memperbanyakkan doa-doa khusus untuk keselamatan rakyat Palestin serta pembebasan bumi Al-Quds,” katanya.

Jelasnya, dalam tempoh kritikal ini, rejim Zionis sedang menggandakan serangan dan tekanan ke atas bumi Gaza yang telah sekian lama dizalimi.

“Justeru, sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, marilah kita bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan.

“Semoga usaha ini menjadi manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI