fbpx

Bengkel motosikal tumpuan ‘anak antoo Penang’ kena serbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adenan (tengah) ketika serbuan OPS Bengkel di sekitar Jalan Gurdwara, George Town, hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Sebuah bengkel motosikal yang menjadi tumpuan pelesit rempit atau lebih popular dengan gelaran ‘anak antoo Penang’ mengubah suai motosikal secara haram antara lima premis yang diserbu dalam Ops Bengkel hari ini.

Bengkel yang beroperasi sejak tiga tahun lalu itu sebelum ini pernah diserbu tahun lalu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan dikenakan tindakan saman, namun pemilik bengkel seolah-olah tidak serik melakukan perbuatan sama.

Pengarah JPJ Negeri, Adenan Md. Isa berkata, antara kesalahan yang dikesan dilakukan pemilik bengkel itu adalah mengubah tayar standard kepada tayar sotong, mengubah ekzos, memasang alat mengawal kelajuan, mengubah sistem enjin dan mengubah swing arm’.

“Bengkel di pusat bandar ini boleh dikatakan antara bengkel ‘top’ yang menjadi tumpuan pemilik motosikal untuk melakukan proses ubah suai secara haram.

“Di bengkel ini kita mengesan pengubahsuaian mungkin dilakukan untuk tujuan meningkatkan kelajuan motosikal bagi berlumba secara haram,” katanya selepas Ops Bengkel di Jalan Gudwara di sini hari ini.

Menurut Adenan, bengkel di pusat bandar ini juga didapati menjual aksesori motosikal yang diimport dan aksesori tersebut mempunyai potensi digunakan untuk melakukan proses ubah suai secara haram.

“Kita dapati harga yang ditawarkan untuk pemilik motosikal melakukan proses ubah suai di bengkel ini adalah sekitar RM400 dan terdapat 14 motosikal di bengkel ini yang sedang diubah suai,” katanya.

Mengulas lanjut, Adenan berkata, secara keseluruhannya dalam Ops Bengkel yang dijalankan selama dua jam bermula pukul 1 tengah hari tadi, sebanyak 66 notis saman melibatkan 30 kesalahan dikeluarkan terhadap lima bengkel motosikal di daerah Barat Daya dan Timur Laut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI