fbpx

NGO kutuk tindakan Islamofobia Rasmus Paludan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najmudeen.

GEORGE TOWN – Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan Persatuan-Persatuan Muslim Pulau Pinang menggesa kerajaan Sweden serta Denmark mengambil tindakan segera terhadap pemimpin Sweden, Rasmus Paludan yang bertindak membakar al-Quran, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Najmudeen Kader berkata, kerajaan Sweden dan Denmark perlu mengambil langkah yang serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin meruncing selain boleh mengganggu keamanan dunia.

“Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang dan Persatuan-persatuan Muslim Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia Rasmus Paludan, ahli politik pelampau warga Denmark- Sweden yang bertindak membakar al-Quran di Stockholm, Sweden pada 21 Januari lalu.

“Aktivis anti-Islam ini sekali lagi telah membakar al-Quran di luar kedutaan Turkiye di Denmark pada 27 Januari. Oleh itu, kami menggesa kerajaan Sweden dan Denmark mengambil tindakan segera terhadap aktivis melampau ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, di bawah perlindungan ketat polis dengan kehadiran kira-kira 100 orang, termasuk sejumlah besar wartawan.

Selepas mengecam hampir sejam yang mana dia menyerang Islam dan Imigresen di Sweden, Paludan membakar al-Quran dengan pemetik api.

Lebih mengecewakan, akhbar The Washington Post melaporkan, ahli politik itu didakwa menerima permit daripada kerajaan Sweden untuk membakar kitab suci umat Islam itu

Menurutnya, pihaknya menuntut tindakan tegas diambil kepada Paludan kerana tindakannya adalah satu jenayah yang boleh menimbulkan kebencian terhadap satu agama dan boleh mencetuskan pergaduhan perkauman.

Beritahunya, tindakan terkutuk itu jelas tindakan yang biadap dan sebagai satu serangan secara terang- terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

“Kandungan al-Quran adalah seperti buku agama lain yang mengandungi nilai-nilai rahmah yang boleh menjadi panduan kepada kehidupan manusia.

“Ajaran Islam menganjurkan supaya umat manusia hidup secara muafakat, bekerjasama, bertolak-ansur dan menghormati agama lain supaya semua penganut tidak kira agama dapat hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.

Tambahnya, tindakan Paludan itu dilihat hanya untuk mencari publisiti murahan di peringkat antarabangsa.

“Kami juga menggesa agar semua pihak termasuk kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk bekerjasama dalam memerangi sentimen Islamofobia ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI