fbpx

JPJ Melaka keluar 922 notis sepanjang 10 hari Op TBC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Firdaus (tengah) melihat pemeriksaan motosikal sempena advokasi keselamatan jalan raya di SMK Ayer Keroh, Melaka. - Foto SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Sebanyak 922 notis telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atas pelbagai kesalahan sepanjang Op Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 yang bermula 18 Januari lalu.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Sharif berkata, sebanyak 2,951 kenderaan telah diperiksa dan 412 kenderaan diambil tindakan sepanjang 10 hari operasi tersebut.

Menurutnya, sebanyak 26 kenderaan turut disita selepas dikenal pasti melakukan pelbagai kesalahan jalan raya dalam operasi berkenaan.

“Daripada 922 notis tersebut, sebanyak 728 notis adalah berkaitan saman dan 79 kes di bawah sembilan kesalahan utama termasuk kegagalan mematuhi lampu isyarat adalah (42 kes), lebih muatan (18 kes) dan memandu di lorong kecemasan (11 kes).

“Sebanyak 331 notis membabitkan lima kesalahan tambahan dikeluarkan dengan tiada lesen memandu sebanyak 184 notis, tiada insurans (138 notis), manakala kesalahan tidak memakai topi keledar dan tali pinggang keledar masing-masing tujuh dan dua notis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Program Advokasi Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Muhammad Firdaus, sepanjang operasi itu juga, empat buah kenderaan barangan telah ditahan selama 48 jam atau sehingga tempoh larangan tamat kerana ingkar larangan kenderaan tertentu berada di Jalan Persekutuan dan lebuh raya.

Katanya, pihaknya turut menaiki lapan buah bas bagi tujuan penyamaran untuk memantau pematuhan undang-undang jalan raya oleh pengendali pengangkutan awam tersebut.

“Sebanyak tiga buah bas didapati melakukan kesalahan tidak menyediakan pemandu kedua bagi jarak melebihi 300 kilometer dan tindakan mengambil serta menurunkan penumpang ditempat yang tidak dibenarkan.

“Bagi pemeriksaan di terminal dan depoh pula, sebanyak 592 bas telah diperiksa dan tiga bas diambil tindakan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk brek, tiada segi tiga kecemasan, tiada pemandu kedua dan tiada pemadam api atau peti ubat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI