fbpx

Inap desa konsep resort lokasi percutian damai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOLAM sepanjang 6.7 meter ini bukan hanya untuk pelawat mandi-manda, malah berfungsi menyejukkan kediaman.

INAP desa yang dikelilingi dengan alam semula jadi sering menjadi pilihan para pelawat.

Lebih-lebih lagi, bagi mereka yang mahukan sebuah percutian tenang bagi merehatkan minda daripada kesibukan kota.

Sebuah inap desa baharu terletak di Alor Setar, Kedah, merupakan salah satu destinasi pilihan buat mereka yang ingin bercuti dengan tenang.

Pemiliknya yang mahu dikenali sebagai Natassha Dina berkata, inap desa berkonsep moden itu terletak betul-betul di pekan Alor Setar dengan menyajikan pemandangan stesen kereta api di bandar tersebut.

Berkonsepkan resort dalam rumah, inap desa itu sesuai buat pengunjung yang mahukan sebuah lokasi berehat dengan gabungan konsep moden dan pohon menghijau di tengah-tengah kediaman.

“Di BT Haus Retreat, pengunjung boleh memilih sama ada mahu menyewa keseluruhan rumah yang dilengkapi sembilan buah bilik tidur atau satu bilik sahaja.

“Kadar sewaan bilik adalah antara RM120 sehingga RM350 mengikut jenis, manakala sewaan bagi rumah pula adalah RM2,500 semalam,” ujarnya.

Setiap bilik di BT Haus Retreat menampilkan rekaan yang berbeza bagi memberi pengalaman unik kepada para pengunjung.

Binaan kediaman seluas 371.6 meter persegi itu dihasilkan dengan menggunakan kayu, kaca, bata dan konkrit, sekali gus mewujudkan reka bentuk ringkas pada rumah Asia yang minimalis, namun tampak canggih.

Suasana di dalam salah satu bilik yang terdapat di inap desa BT Haus Retreat, Alor Setar, Kedah.

Elemen air di tingkat bawah kediaman yang menempatkan sebuah kolam sepanjang 6.7 meter bukan sahaja untuk tetamu berenang, bahkan ia merupakan faktor penting bagi menyejukkan rumah.

“Inap desa ini juga menampilkan elemen yang biasa kita lihat pada sebuah kediaman Melayu tradisional.

“Misalnya, ruang pangkin atau teres yang sesuai untuk para tetamu bersantai,” ujarnya.

Bagi bilik utama dengan pangkin, ia menampilkan sebuah katil berukuran king dan satu unit katil single.

Bilik dengan pemandangan kereta api pula menampilkan dua unit katil single. Ia sesuai buat pengunjung yang datang bersama rakan.

BT Haus Retreat terletak tidak jauh dari kawasan-kawasan menarik yang terdapat di sekitar pusat bandar Alor Setar.

Antaranya seperti pusat beli-belah Aman Central, Stadium Darul Aman, Muzium Padi Kedah dan Taman Jubli Emas.

Bagi pengunjung yang mahu bersantai di inap desa pula, mereka boleh melakukan aktiviti mandi kolam, bersantai di pangkin sambil bermain buaian dan berbarbeku bersama ahli keluarga.

Ujar Natassha, inap desa tersebut cukup sesuai buat mereka yang mahukan suasana percutian menarik dan lain daripada lain.

“Di BT Haus Retreat, kami mewujudkan satu suasana percutian yang berbeza.

“Kami mengalu-alukan pengunjung yang sukakan alam semula jadi untuk datang dan menginap di sini,” ujarnya.

Mereka yang berminat boleh membuat tempahan menerusi laman web, www.bthausretreat.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI