PENGGUNA tegar aplikasi TikTok pastinya pernah menonton video masakan oleh seorang cef tinggi lampai berketurunan India, yang cukup mahir menyediakan menu masakan vegan.
Pertuturan bahasa Melayunya yang fasih sambil berkongsi menu masakan vegan yang ringkas dan sesuai dengan tekak rakyat Malaysia menjadikan pemilik nama Kalidevan Murugaya atau lebih dikenali sebagai Cef Dave itu semakin tular di media sosial.
Vegan merupakan kumpulan individu yang mengamalkan diet yang menyingkirkan segala produk berasaskan haiwan seperti daging haiwan, telur dan juga tenusu, yang dilihat menjadi amalan pemakanan popular dalam kalangan penduduk di negara ini.
Menurut lelaki berusia 31 tahun itu, dia sama sekali tidak menyangka berjaya mengumpul 436,500 pengikut di akaun TikTok miliknya yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Tarikan Dave terletak pada penyediaan menu masakan vegan yang disediakan dan diolah sesuai dengan cita rasa masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Apabila bercakap tentang menu atau resipi vegan, hasil carian di Google biasanya akan menunjukkan resipi ala Barat, memandangkan amalan pemakanan vegan lebih popular di sana.
“Namun, terdapat ramai orang yang mahu menjadi vegan akibat pelbagai faktor seperti agama dan juga kesihatan, yang mungkin berasa sukar untuk mencari menu vegan mudah yang lebih sesuai dengan selera kita.
“Justeru, saya memuat naik video perkongsian resipi di media sosial yang diharapkan dapat memberikan inspirasi dan manfaat kepada pengamal diet ini,” ujarnya kepada K2.
Bercerita lanjut, anak kelahiran Segamat, Johor itu berkata, dia memulakan kerjaya dalam bidang kulinari sejurus selepas menamatkan pengajian dalam bidang tersebut.
“Selepas memperoleh ijazah sarjana muda, saya berkhidmat di kumpulan hotel Shangri-La selama tujuh tahun sebelum menerima tawaran untuk berkhidmat sebagai cef untuk syarikat Disney Cruise Line.
“Ketika pandemik, saya mempunyai masalah kesihatan dan terpaksa melakukan pembedahan kecil. Ketika itu juga, saya banyak habiskan masa dengan menonton dokumentari tentang agrikultur haiwan dan daripada situ, saya mula menjadi seorang vegan,” ujarnya.
Bertitik tolak daripada itu, Dave mula bereksperimen dengan pelbagai jenis masakan menu Malaysia, namun menjadikannya dalam versi vegan.
“Saya mula belajar cara menghasilkan menu Malaysia seperti laksa, nasi kerabu dan nasi dagang dengan cara vegan.

“Kemudian, beberapa orang rakan dan juga ahli keluarga mula meminta saya untuk berkongsi resipi masakan vegan tersebut bersama mereka.
“Memandangkan dunia ketika itu sedang dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan saya juga tidak boleh kembali bekerja, maka saya pun mula memuat naik video resipi vegan versi Malaysia,” ujarnya.
Sama seperti individu lain, video yang dimuat naik Dave pada awalnya tidak begitu mendapat sambutan.
Namun, dia kemudiannya perlahan-lahan mula mengumpul penonton serta pengikut bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga dari luar negara.
Kongsi Dave, video pertama yang menjadikan namanya semakin dikenali adalah daripada perkongsian resipi mi goreng mamak versi vegan yang dihasilkannya.
Menu kegemaran rakyat Malaysia itu dihasilkan dengan betul-betul mengikut resipi asli.
“Selepas lebih setahun memuat naik video resipi di media sosial, resipi mi goreng mamak itu, saya tidak sangka bahawa resepi mi goreng mamak tersebut mendapat sambutan.
“Ini kerana resipi yang dikongsikan itu adalah merupakan resipi asli mi goreng mamak yang turut mengandungi bahan seperti ubi kentang.
“Mi goreng mamak sedemikian sudah sukar diperoleh kini menyebabkan ruangan komen pada media sosial saya dibanjiri oleh komen-komen daripada rakyat Malaysia yang amat merindui masakan tersebut,” ujarnya.
Sedikit demi sedikit, Dave mula mengumpul pengikut pelbagai kaum seperti India, Melayu, Cina, Iban dan Serani yang memuji kreativitinya dalam mengolah masakan vegan sesuai dengan masakan tertentu sesuatu kaum itu.
Antara menu menyelerakan yang disediakan Dave termasuk sambal tempe ikan bilis, timun masak taucu, ikan kukus dan juga nasi lemak bersama rendang vegan. Biasanya untuk ikan, dia akan menukarnya kepada hampas kacang soya.
Malah, nasi lemak vegan juga merupakan menu paling disukainya, yang mana Dave menggantikan ayam dengan cendawan yang mempunyai tekstur sama seperti daging ayam.
“Apabila memilih untuk menjadi vegan, saya masih boleh menikmati menu-menu sama, namun dengan bahan yang diolah.
“Sebagai contoh, cendawan dan juga buah nangka boleh digunakan sebagai pengganti daging kerana kedua-dua makanan itu mempunyai tekstur yang hampir sama dengan daging,” katanya yang turut menyajikan nasi lemak itu bersama acar sayur.
Mengakui cukup menyukai kerjayanya kini yang bergelar pemuat naik kandungan, Dave berkata, buat masa ini, dia tidak berhasrat untuk kembali bertugas sebagai cef di restoran mahu pun hotel.
“Selain memuat naik kandungan masakan dan juga vlog harian, saya juga merupakan tenaga pengajar bagi kelas masakan vegan secara online.
“Biarpun jadual saya cukup padat dan perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap media sosial dan juga kelas, namun saya sangat gembira dengan kerjaya baharu ini kerana saya berasa amat puas apabila ilmu yang ada ini boleh dikongsi dan memberi manfaat kepada lebih ramai orang,” ujarnya.














