fbpx
ARMIZAN Mohd Ali beramah mesra bersama salah seorang mangsa banjir di PPS Dewan Komuniti Kampung Tasek, Segamat.

Banjir: Semua agensi perlu siap siaga hadapi banjir buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT – Setiap agensi berkaitan diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan setiap masa dalam menghadapi musim tengkujuh serta fenomena yang dijangka lebih buruk akibat cuaca yang tidak menentu akhir-akhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tindakan itu bagi memastikan operasi menyelamat termasuk proses memobilisasikan peralatan logistik dapat dilakukan secara lebih sistematik.

Menurutnya, agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah diarahkan untuk memastikan semua Pusat Kawalan Operasi (PKOB) di peringkat negeri dan daerah mengambil langkah lebih peka dengan sebarang kemungkinan banjir yang bakal berlaku di kawasan mereka.

“Buat masa ini fokus utama adalah di tiga negeri yang sedang dilanda banjir iaitu Johor, Sabah dan Pahang.

“Matlamat kita adalah memastikan kita dapat menyelaraskan semua agensi yang terlibat berdasarkan kepada arahan 20, Majlis Keselamatan Negara kita gabungkan semua sumber yang ada merentasi semua agensi ini.

“Kedua, kita akan memastikan masyarakat di sekitar mendapat maklumat penting dan sekiranya hujan berterusan agensi keselamatan mengarahkan penduduk berpindah, kita harap masyarakat tidak bertangguh,” katanya ketika ditemui sewaktu melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Komuniti Kampung Tasek, di sini hari ini.

Tambah beliau, penduduk yang terlibat diharap sentiasa mematuhi arahan daripada agensi berwajib yang mengambil kira keselamatan nyawa masyarakat terlibat. – KOSMO! ONLINE

POPULAR