PETALING JAYA – Penyakit kelamin (STD) tidak boleh dianggap penyakit biasa kerana ia kini semakin membarah dalam kalangan masyarakat terutama terhadap golongan remaja di negara ini.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Megat Muhammad Haris Megat Zainal berkata, STD akan menyebabkan pesakit terdedah dengan pelbagai komplikasi penyakit lain termasuk kemandulan pada usia muda.
Selain itu katanya, kesan daripada lambat menerima rawatan berkaitan STD juga boleh menyebabkan remaja tersebut mendapat penyakit radang pelvis.
“Lebih bahaya jika penyakit beralih kepada tahap 2 dan 3 terutamanya bagi penyakit sifilis yang boleh menyebabkan jangkitan pada otak.
“Kebanyakan mereka tidak sedar bahaya penyakit STD dan ramai yang menganggap ia penyakit biasa dan disebabkan itu mereka tidak hadir untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan lebih awal,” katanya.
Menurut Megat Muhammad Haris, terdapat segelintir pesakit takut untuk berjumpa dengan doktor, malah tidak menceritakan kepada ibu bapa tentang masalah penyakit kelamin yang mereka hadapi.
Dalam pada itu beliau memberitahu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kegiatan seksual dalam kalangan remaja telah bermula seawal 15 tahun dan 8.3 peratus daripadanya merupakan pelajar sekolah.
“Berdasarkan data pada tahun 2016, sebanyak 70,559 kes penyakit kelamin telah dilaporkan di negara ini. Daripada jumlah tersebut 10,663 merupakan kes HIV, manakala 50,000 lagi merupakan jangkitan penyakit kelamin yang lain,” katanya.
Bagaimanapun ujar Megat Muhammad Haris, data tersebut tidak memperincikan jantina serta umur pesakit yang menghidap STD di negara ini.
“Tetapi secara global, remaja merupakan golongan yang menyumbang lebih daripada separuh kes baharu penyakit kelamin setiap tahun,” ujarnya.
















