fbpx

Tunggakan gaji pemain Melaka United sebanyak RM2.3 juta – PFAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan pemain Melaka United masih belum menerima tunggakan gaji hampir enam bulan. - Foto ihsan Facebook Melaka United

PETALING JAYA – Bekas pemain pasukan Melaka United masih lagi menanti tunggakan gaji hampir enam bulan dengan keseluruhan nilai sebanyak RM2.3 juta ketika ini.

Angka tersebut didedahkan Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) selepas pihak pengurusan gagal melunaskan tunggakan tersebut meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.

Menurut kenyataan PFAM, semalam (18 November) adalah tarikh akhir bagi notis yang dihantar ke Melaka United  untuk melunaskan tunggakan gaji yang dihadapi oleh pemain.

“Tunggakan gaji yang bermula daripada Julai sehingga Disember tahun lalu menyebabkan pemain Melaka United berdepan dengan situasi enam bulan tidak bergaji.

“Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan.

“Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi.

“Mereka merayu seolah seolah meminta bantuan ataupun seolah olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri,” kata PFAM dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Selain itu, pada 4 November tahun lalu, keputusan sudah dikeluarkan oleh Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan bagi kelab Melaka United untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu namun sehingga kini, jumlah itu masih gagal untuk dibayar.

Kemelut kewangan yang dihadapi oleh pengurusan Sang Kancil turut menyaksikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk menolak rayuan mereka mendapatkan lesen kebangsaan sekali gus tidak layak beraksi dalam Liga Super musim 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI