fbpx

MOT bakal teliti khidmat pengangkutan awam percuma untuk OKU, pelajar sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMINUDDIN Harun menulis kaligrafi sambil diperhatikan Siew Fook pada Majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina Tahun 2023 di Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban di sini hari ini.- FOTO/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN – Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal meneliti perkhidmatan pengangkutan awam yang sesuai di negara ini untuk perlaksanaan inisiatif tambang percuma yang bukan hanya akan diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) tetapi juga melibatkan pelajar sekolah.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sejajar dengan hasrat itu, beliau akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bersama operator pengangkutan awam iaitu Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) dan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) bagi membincangkan kaedah pelaksanaan inisiatif berkenaan.

“Akan ada perjumpaan dengan pihak operator seperti KTMB dan juga pihak Prasarana untuk melihat bagaimana boleh dilaksanakan inisiatif ini.

“Kementerian sedang melihat sektor dan perkhidmatan yang mungkin untuk diberikan secara percuma, ia akan secara berfasa-fasa. Saya sudah minta KTMB untuk melihat bagaimana boleh dioptimumkan subsidi yang diberikan kerajaan kepada KTMB untuk kegunaan manfaat golongan OKU dan juga pelajar.

“Pihak KTMB kami ada perkhidmatan KTM Komuter dan KTM Komuter Utara dan perkhidmatan kereta api di Pantai Timur yang digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah, jadi saya akan melihat bagaimana untuk perkhidmatan percuma khususnya perkhidmatan komuter dan kereta api KTM ini dapat ditawarkan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina Tahun 2023 di Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, golongan OKU bakal menikmati kelebihan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma dan memaklumkan perkara itu juga sudah dipersetujui Siew Fook.

Ujar Nancy, mekanisme pelaksanaan pemberian tambang percuma untuk golongan berkenaan perlu diteliti dan tarikh pelaksanaan tambang percuma itu bergantung kepada pihak Kementerian Pengangkutan.

Dalam pada itu, Siew Fook menjelaskan pelaksanaan inisiatif berkenaan tidak memerlukan sebarang peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan sebaliknya akan mengoptimumkan sumber yang ada termasuk menerusi bantuan dan subsidi yang telah diberikan sebelum ini.

“Memang saya ada perancangan, kita optimumkan sumber yang ada dalam kerajaan, perlu kita lihat kembali bagaimana untuk menstrukturkan semula bantuan dan subsidi supaya ia lebih bersasar dan sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Saya tidak melihat perlunya peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan, gunakan peruntukan sedia ada, apabila kita rombak semula, apabila kita sasarkan peruntukan itu ia dapat bantu golongan OKU dan pelajar,” katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI