fbpx

4 juta kenderaan dijangka masuk Johor sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Edir menyampaikan hamper kepada pengguna jalan raya yang melalui Plaza Tol Kempas, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Lebih empat juta kenderaan dijangka masuk ke negeri ini sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini bermula Jumaat hingga Selasa depan.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Mohd. Edir Sanip berkata, pertambahan kenderaan itu dapat dilihat di pintu masuk utama negeri ini seperti di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) termasuk di Plaza Tol Kempas dan Plaza Tol Skudai serta di Tambak Johor.

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan operasi dan penguatkuasaan dengan menggandakan penugasan keanggotaan di seluruh negeri ini sepanjang musim perayaan.

“Bagi memastikan kelancaran operasi, seramai 170 pegawai dan anggota dari semua bahagian termasuk enam cawangan, enam stesen penguat kuasa dan dua stesen kawalan sempadan untuk bersama turun padang,” katanya selepas majlis Pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Kempas, di sini hari ini.

Mohd. Edir berkata, mobiliti operasi pada musim perayaan ini melibatkan sebanyak 33 buah kenderaan penguatkuasaan dan sembilan motosikal yang digerakkan untuk membuat rondaan dan pemantauan sepanjang operasi bermula Jumaat ini hingga 27 Januari ini.

Tambahnya, JPJ Johor juga akan memberi tumpuan kepada 45 kawasan titik panas yang kerap berlakunya kemalangan jalan raya, majoritinya berada di kawasan Johor Bahru.

“Pengoperasian yang dijalankan JPJ Johor memberi tumpuan kepada tujuh kesalahan utama antaranya tidak mematuhi had laju, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai topi keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI