fbpx

JLG rekod pelaburan bernilai RM45.6 bilion tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ diberi penerangan mengenai tayangan maya sempena pelancaran JLand Group (JLG) di Atrium JLand KOMTAR, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – JLand Group Sdn. Bhd. (JLG) yang merupakan anak syarikat Johor Corporation (JCorp) telah berjaya merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM45.6 bilion sepanjang tahun 2022.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim sehubungan itu berkata, pihaknya kini sedang merancang untuk meluas dan mengembangkan portfolio pembangunan industri dan perbandaran bahagian Pelaburan Hartanah kumpulan berkenaan.

Menurut beliau, perancangan tersebut membabitkan hartanah berkualiti dan bermutu tinggi bukan sahaja dalam negara, tetapi juga pasaran antarabangsa.

“Misi JLG adalah untuk menjadi penyedia penyelesaian hartanah sehenti yang memberikan kelebihan kompetitif kepada perniagaan sambil memenuhi keperluan, aspirasi dan kitaran hayat perniagaan, industri dan generasi akan datang.

“JLG juga akan bekerjasama rapat dengan peserta industri bagi mengenalpasti, merintis dan mengguna pakai teknologi serta penyelesaian baharu dalam sektor hartanah dan infrastruktur,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran JLG Secara Rasmi yang diadakan di Menara Komtar, dekat sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Tambah Syed Mohamed, pihaknya mengakui ketika ini adalah masa paling sesuai untuk JLG meneroka bidang pertumbuhan baharu dalam sektor hartanah dan infrastruktur dengan mengambilkira peluang semasa.

“JCorp mahu membina sebuah entiti ulung yang memberi tumpuan terhadap teknologi dan infrastruktur dalam ekonomi baharu, manakala JLG adalah platform untuk mengukuhkan inovasi dan kecekapan modal bagi menjamin ekosistem perniagaan mampan.

“Perniagaan teras JLG terdiri daripada empat tunggak iaitu Pembangunan Hartanah, Pengurusan Kitaran Hayat Aset, Pelaburan Hartanah serta Infrastruktur dan Utiliti. Empat bidang ini merangkumi pelbagai industri dalam negara dan luar,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI