fbpx

Wanita hamil antara didakwa seleweng dana penjana RM147,400

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asmida (dua dari kiri) dan Nurul Ain (kanan) diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, di Ayer Keroh, Melaka, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD

MELAKA – Tiga majikan syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), berjumlah RM 147,400, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Ab. Jamal, 33, Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Nurul Ain Shamdudin, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus empat pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurusbahasa mahkamah di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.

Mengikut dua pertuduhan terhadap Muhammad Hafizi yang juga pengurus Syarikat Rizky H&I Global, dia didakwa mengemukakan butiran palsu melibatkan senarai nama pekerja tidak wujud bagi menuntut insentif berkenaan yang berjumlah RM 74,600.

Manakala Asmida Shahfika yang merupakan pemilik Syarikat Roti Warisan Enterprise turut didakwa atas kesalahan sama iaitu dengan mengemukakan butir nama pekerja baharu sedangkan mereka bukan pekerja di syarikat miliknya, yang melibatkan jumlah tuntutan sebanyak RM36,900.

Nurul Ain yang juga pengurus Syarikat Zaharain Enterprise turut didakwa atas kesalahan sama membabitkan jumlah RM35,900.

Kesemua kesalahan itu dikesan dilakukan tertuduh di Pejabat Perkeso Melaka antara 19 Mei 2021 hingga 18 Jun 2021 lalu.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Zaudi Nordin Mohd. Yasri Yahya mencadangkan jaminan RM15,000 dikenakan kepada Asmida Shahfika dan Nurul Ain, manakala RM40,000 terhadap Muhammad Hafizi dengan mengambil kira nilai tuntutan yang dilakukan mereka.

Pihak pendakwaan turut memohon agar ketiga-tiga tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap dua tertuduh wanita berkenaan, manakala jaminan RM20,000 terhadap Muhammad Hafizi.

Mahkamah turut bersetuju dengan kesemua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan 16 Februari ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI