fbpx

Mahkamah: Ira Kazar berdepan tindakan undang-undang, langgar injunksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ira Kazar berdepan tindakan undang-undang kerana melanggar perintah injunksi.

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ira Kazar, kakaknya, dan bapa mereka, Kazaruddin Saisi kerana didakwa melanggar perintah injunksi oleh Mahkamah Sivil Kuala Lumpur, Jun tahun lalu.

Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili pelakon itu berkata, permohonan komital akan dibuat agar mahkamah menjatuhi hukuman penjara dan denda kepada Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini, 27, serta dua ahli keluarganya itu.

Menurutnya, mereka pernah melanggar perintah berkenaan sebelum ini dan akur dengan permintaan itu selepas pihaknya menghantar surat injunksi.

“Namun, kali ini pelanggaran yang dilakukan adalah amat dasyat kerana Ira tidak boleh sama sekali mengganggu Syamsul sehingga kes saman itu selesai. Ira melanggar perintah mahkamah dengan pergi ke luar negara untuk bernikah, tanpa izin mahkamah di sini,” katanya.

Peguam terbabit berkata demikian pada sidang media yang turut disertai Puteri Sarah selepas wanita terbabit memfailkan permohonan cerai di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pada Jun tahun lepas, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan saman sivil di Mahkamah Sesyen di sini, terhadap Ira atas dakwaan menerima gangguan dan ugutan daripada wanita itu menerusi media sosial.

Puteri Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, turut memperoleh perintah injunksi daripada mahkamah sama, antara lain bagi menghalang Ira menghampiri dan mengganggu plaintif, suami dan keluarganya.

Berdasarkan perintah injunksi yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak (inter parte) pada Jun 2022, Ira tidak boleh menghampiri, mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah atau Syamsul, keluarga kedua-dua individu itu, rakan pasangan itu, orang-gaji mereka dan kediaman mereka.

Selain itu, Ira juga dilarang untuk mengeluarkan, menyebar dan menghantar sebarang kenyataan atau apa sahaja bentuk gangguan kepada Puteri Sarah dalam media sosial sehingga kes selesai.

Perintah injunksi tersebut turut meliputi ahli keluarga Ira, wakilnya yang mempunyai kaitan atau hubungan, atau proksi kepada anak Kazar itu.

Kes saman sivil itu akan mula dibicarakan pada 27 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI