fbpx

Faktor pasaran serantau dan global pengaruhi harga getah tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kerajaan secara dasarnya tidak mempunyai kedudukan yang kuat sebagai pengeluar untuk melakukan intervensi meningkatkan harga getah secara unilateral di pasaran antarabangsa.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi kenyataan hari ini berkata, Malaysia ketika ini hanya mengeluarkan empat peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah dunia.

Menurutnya, faktor pasaran serantau dan faktor ekonomi global juga dilihat memberi pengaruh besar ke atas pergerakan harga getah di pasaran ketika ini.

“Kejatuhan harga juga ada kaitan dengan prospek ekonomi global yang lembab, peningkatan bekalan getah asli, penurunan harga minyak mentah dan kebimbangan mengenai hubungan perdagangan Amerika Syarikat-China serta ketidaktentuan daripada konflik Rusia- Ukraine,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, KPK amat prihatin terhadap isu kejatuhan harga getah terhadap pekebun kecil getah dan penoreh di seluruh negara ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Jelas KPK lagi, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah mengadakan siri perbincangan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk mengurangkan impak kejatuhan harga getah.

“Antara usaha dilakukan termasuk memperkenalkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 bertujuan mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh.

“Melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil akan menerima harga getah peringkat ladang (50 peratus kandungan getah kering) sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.

“Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga Disember 2022, IPG telah diagihkan kepada 202,533 pekebun kecil di seluruh negara dengan perbelanjaan berjumlah RM446 juta,” katanya.

Katanya, kementerian turut memperkenalkan MyROL iaitu satu satu kaedah pemasaran getah melalui kaedah tender secara online bagi memastikan urusniaga lebih telus.

Tambahnya lagi, ketika ini terdapat 11 pusat jualan getah di sekitar Kelantan, Perak dan Pahang telah menggunakan MyROL dalam urusniaga mereka dan ini telah memanfaatkan kira-kira 700 pekebun kecil.

“Bagi setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini, mereka akan menerima insentif tunai sebanyak RM 1/kg bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK).

“Peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM 850 bagi setiap hektar secara one-off,” katanya.

Katanya, program lain yang sedang berjalan termasuk Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dan Permit Autoriti Transaksi-Getah (PAT-G). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI