fbpx

LZS, Etiqa santuni anak miskin bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Sabirin (kiri) bergambar bersama Ketua Shahrul Azuan (dua dari kiri) pada majlis perasmian Pusat Innovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor yang ke-3 di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara. FOTO Saddam Yusoff

PUCHONG – Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad meneruskan usaha menyantuni anak-anak miskin bandar dengan pembukaan Pusat Inovasi dan Pembelajaran Al-Biruni Zakat Selangor yang ketiga di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara, Puchong, di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini berkata, Al-Biruni Zakat Selangor dibangunkan di bawah Program Pembangunan Kanak-Kanak Miskin Bandar LZS dengan objektif utama menyediakan ruang belajar dan bersosial yang selamat dan kondusif kepada pelajar disamping menyediakan bantuan akademik kepada mereka yang ketinggalan dalam pelajaran.

Turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir dan Mufti Terengganu, Dr. Mohamad Sabri Haron.

Dalam pada itu, Mohd. Sabirin memaklumkan, pusat Al-Biruni itu dibuka menggunakan dua unit pengasapuri milik LZS yang telah diubah suai mengikut reka bentuk konsep yang menyediakan ruang belajar, ruang santai dan bilik bacaan.

“Kesemua ini merupakan sumbangan daripada Etiqa Family Takaful Berhad dan Etiqa General Takaful Berhad dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM640,000 melibatkan kos pengubahsuaian dan pembelian peralatan serta kelengkapan termasuk kos pengurusan operasi bagi tempoh dua tahun.

“Untuk makluman, dua pusat yang sama telah dibuka iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mentari, Petaling Jaya pada tahun 2019 dan Tanjong Karang pada tahun 2021 dengan dibantu penggerak ADAB Youth Garage (AYG) bagi melaksanakan program pembangunan akademik dan sosial yang dirancang,” ujarnya.

Katanya, Al-Biruni menyasarkan penyertaan kanak-kanak miskin bandar terdiri daripada anak-anak asnaf yang berusia 7 hingga 17 tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim ketika ditemui pemberita berkata, sumbangan tersebut diharapkan dapat memberi manfaat serta semangat kepada mereka untuk belajar dengan lebih tekun demi masa depan yang cerah.

Jelasnya, pada tahun 2021 Etiqa Family Takaful juga telah membayar zakat sebanyak RM20.5 juta di mana 40 peratus telah diagihkan kepada 14 buah pusat zakat di seluruh negara manakala baki 60 peratus lagi diagihkan secara terus melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI